KEMENTERIAN Kesihatan Palestin di Gaza dalam satu kenyataan pada Isnin berkata, sekurang-kurangnya 67 orang terbunuh dan 106 yang lain cedera dalam serangan Israel dalam 24 jam terakhir, sambil menyatakan bahawa ramai mangsa masih terperangkap di bawah runtuhan dan di jalan raya, dan pasukan penyelamat tidak dapat menghubungi mereka.
Kenyataan itu menambah, 72 peratus daripada mangsa adalah wanita dan kanak-kanak, manakala jumlah mereka yang meninggal dunia akibat kekurangan zat makanan dan kebuluran meningkat kepada 25 orang.
Menurut laporan agensi berita rasmi Palestin, WAFA, beberapa rakyat Palestin terbunuh dan yang lain cedera dalam pengeboman sebuah rumah di kejiranan Zaytoun, petik Palestine Chronicle.
Yang lain terbunuh dan cedera dalam satu lagi pengeboman yang menyasarkan sebuah rumah di timur Rafah, selatan Genting Gaza.
Serangan meriam Israel menyasarkan kawasan di timur Khan Yunis, selatan Genting Gaza.
Di kejiranan Al-Sabra, selatan Bandar Gaza, sebilangan rakyat Palestin cedera berikutan pengeboman beberapa rumah.
Tentera pendudukan mengebom tanah pertanian berhampiran sempadan Mesir-Palestin di dalam kejiranan Al-Salam di Rafah, manakala pesawat rejim melancarkan serangan di barat Bandar Gaza, khususnya di sebuah rumah di kem Nuseirat di tengah Genting Gaza, dan beberapa rumah di al -Kem Shati’, barat Bandar Gaza.
Pada petang Ahad, kru ambulans menemui mayat 10 orang awam, termasuk kanak-kanak dan wanita, dari sebuah rumah milik keluarga Ashour, berhampiran bulatan Al-Dahdouh di kejiranan Tal Al-Hawa, barat daya Bandar Gaza.
Walau sudah dibicarakan di hadapan Mahkamah Keadilan Antarabangsa atas pembunuhan beramai-ramai terhadap rakyat Palestin, Israel tidak berhenti melancarkan perang yang dahsyat ke atas Gaza sejak 7 Oktober.
Menurut Kementerian Kesihatan Gaza, 31,112 rakyat Palestin telah terbunuh, dan 72,760 cedera dalam pembunuhan beramai-ramai Israel yang berterusan di Gaza bermula pada 7 Oktober.
Tambahan pula, sekurang-kurangnya 7,000 orang tidak dapat dikesan, dianggap mati di bawah runtuhan rumah mereka di seluruh genting.
Pertubuhan Palestin dan antarabangsa mengatakan bahawa majoriti yang terbunuh dan cedera adalah wanita dan kanak-kanak.
Serangan Israel juga telah mengakibatkan hampir dua juta orang melarikan diri dari seluruh Genting Gaza, dengan sebahagian besar pelarian terpaksa masuk ke bandar selatan Rafah yang padat, berhampiran sempadan dengan Mesir – yang telah menjadi penghijrahan beramai-ramai terbesar di Palestin sejak Nakba 1948.