HomeGlobalBatik Air Indonesia disiasat insiden juruterbang tertidur dalam penerbangan

Batik Air Indonesia disiasat insiden juruterbang tertidur dalam penerbangan

INDONESIA sedang menyiasat syarikat penerbangan tempatan Batik Air selepas kedua-dua juruterbang didapati tertidur selama 28 minit semasa penerbangan.

Kedua-dua lelaki itu – yang kedua-duanya telah digantung sementara – tertidur semasa penerbangan pada 25 Januari dari Sulawesi ke ibu kota Jakarta.

Seorang daripada mereka dilaporkan keletihan menjaga anak kembarnya yang baru lahir.

Pesawat Airbus A320 itu terkeluar haluan seketika tetapi mendarat dengan selamat, dengan kesemua 153 penumpang dan anak kapal tidak cedera, lapor BBC.

Juruterbang berusia 32 tahun itu memberitahu pembantu juruterbangnya untuk mengawal pesawat kira-kira setengah jam selepas berlepas, kerana dia perlu berehat.

Penolong juruterbang berusia 28 tahun itu bersetuju, menurut laporan Kementerian Pengangkutan.

Tetapi pembantu juruterbang secara tidak sengaja tertidur juga. Menurut laporan itu, dia membantu isterinya menjaga bayi kembar mereka yang berusia sebulan.

Kawalan trafik udara Jakarta cuba menghubungi kokpit Batik Air A320 selepas penghantaran terakhir mereka direkodkan tetapi tidak mendapat maklum balas.

Ketiadaan komunikasi radio itu berlangsung selama 28 minit sehingga juruterbang utama bangun dan menyedari bahawa pembantu juruterbangnya juga telah tertidur. Dia juga mendapati pesawat itu telah melencong seketika.

Juruterbang kemudian menjawab panggilan dari Jakarta dan mendaratkan pesawat dengan selamat.

Ujian perubatan sebelum penerbangan menentukan bahawa lelaki itu sihat untuk terbang. Tekanan darah dan degupan jantung mereka adalah normal dan ujian alkohol juga negatif.

Tetapi walaupun juruterbang nampak berehat sepenuhnya, ujian gagal menentukan sama ada kualiti rehat mereka adalah baik, pakar penerbangan, Alvin Lie memberitahu BBC Indonesia.

Pihak berkuasa telah memberi amaran keras kepada Batik Air berhubung insiden itu, dengan ketua pengangkutan udara Indonesia, M Kristi Endah Murni berkata, Batik Air harus memberi lebih perhatian kepada masa rehat anak kapal mereka.

Batik Air berkata, ia beroperasi dengan dasar rehat yang mencukupi dan komited untuk melaksanakan semua cadangan keselamatan.

Pada 2019, syarikat penerbangan yang sama terpaksa melakukan pendaratan kecemasan selepas juruterbang pengsan.

Peraturan penerbangan di kebanyakan negara memerlukan sekurang-kurangnya dua juruterbang untuk hadir di kokpit pesawat komersial.

Author

Pilihan Editor