HomeGlobalPelakon veteran Squid Game dipenjara 8 bulan atas salah laku seksual

Pelakon veteran Squid Game dipenjara 8 bulan atas salah laku seksual

SEOUL: Pelakon veteran Squid game, O Yeong-Su, 79 tahun didapati bersalah atas pertuduhan salah laku seksual oleh mahkamah di Korea Selatan.

Pada tahun  2022, Yeong-Su didakwa kerana melakukan serangan seksual terhadap seorang wanita tidak dikenali, sebanyak dua kali.

Pelakon itu dijatuhi hukuman penjara lapan bulan dengan penggantungan hukuman selama dua tahun, kata mahkamah daerah Suwon cawangan Seongnam, lapor BBC.

Insiden itu berlaku ketika pelakon berkenaan tinggal di kawasan luar bandar untuk persembahan teater pada 2017, di laluan pejalan kaki dan di hadapan kediaman mangsa, menurut mahkamah daerah Suwon.

Memetik laporan agensi berita Yonhap, tertuduh didakwa memeluk seorang wanita dan mencium pipi tanpa kerelaannya.

O Yeong-Su semakin dikenali di peringkat antarabangsa selepas membintangi Squid Game serta menjadi warga Korea Selatan pertama memenangi Anugerah Golden Globe untuk pelakon pembantu terbaik.

Squid Game, satu siri yang menggambarkan dunia gelap di mana individu terpinggir dipaksa bersaing dalam versi maut permainan kanak-kanak tradisional, dengan pantas menjadi popular di Netflix.

Author

Pilihan Editor