KEMERIAHAN bulan Ramadan di negara ini menjadi titik peluang buat para peniaga untuk meningkatkan hasil jualan menerusi bazar dan pameran.
Masakan tidak, orang ramai khususnya umat Islam sudah pasti tercari-cari barangan penting bagi menyambut ketibaan Syawal yang akan datang seperti kuih raya, baju raya dan aksesori pakaian.
Namun, di sebalik keterujaan itu, para peniaga adakalanya diuji dengan untung rugi perniagaan, termasuk terpaksa membayar sewa tapak bazar atau ekspo dengan harga yang tidak masuk akal.
Perkara itu didedahkan oleh seorang peniaga kedai baju yang hanya mahu dikenali sebagai Fuad, 37, yang mengakui merasa terkesan dengan harga tapak jualan yang dinaikkan dengan kadar anggaran 50 peratus.Â
Ketika ditemui di sebuah dataran ekspo di Seremban, Negeri Sembilan, Fuad mendakwa bahawa kenaikan tersebut ditentukan sendiri oleh penganjur tanpa sebarang campur tangan pihak lain.Â
“Harga tapak sebelum ni okay dan tidak melampau, namun ketika ini harga tapak naik mencecah RM10,000 hingga RM15,000,” katanya kepada MEDIA VARIASI.Â
Susulan itu, Fuad yang sudah pun melakukan perniagaan itu bersama keluarganya selama lebih 10 tahun mengakui bahawa mereka terpaksa menaikkan harga jualan dengan mengambil kira beberapa faktor.Â
Katanya, ini termasuk harga modal bagi pakaian yang dijual serta kos sewa tapak jualan.
“Harga baju semasa diambil pun sudah mahal, ditambah pula dengan harga tapak lagi.
“Namun, kenaikan harga itu tidaklah melampau sangat, ‘standard’ sahaja kerana masih ikut pasaran,” ujarnya.
Dalam pada itu, peniaga tersebut turut menyatakan rasa terkesan dengan kewujudan perniagaan dalam talian.Â
Jelasnya, kecenderungan pengguna untuk membeli pakaian secara dalam talian mengakibatkan pembelian secara langsung berkurangan.Â
“Saya sememangnya terkesan dengan pembelian baju ‘online’ lebih-lebih lagi di laman TikTok.Â
“Tetapi, saya memang ada perancangan untuk masuk ke platform TikTok pada masa akan datang,” katanya.