HomeGlobal3 pemain kanak-kanak terbunuh dalam serangan Israel - Akademi sukan Gaza

3 pemain kanak-kanak terbunuh dalam serangan Israel – Akademi sukan Gaza

TIGA kanak-kanak Palestin yang merupakan pemain di Akademi Al-Wahda di Gaza terbunuh dalam serangan Israel di bandar Deir al-Balah di tengah Genting Gaza, umum institusi sukan itu pada Ahad.

“Kami sedih atas kesyahidan pemain Sami Bilal Abu Issa dan Muhammad Bilal Abu Issa dari Akademi Al-Wahda,” katanya dalam satu kenyataan.

Dalam kenyataan berasingan, akademi itu berkata, seorang lagi pemain, Adam Ramez Nabhan terbunuh dalam satu lagi pengeboman Israel pada Jumaat.

Sumber perubatan mengesahkan kepada Anadolu bahawa pemain Sami Abu Issa, 4, dan Muhammad Abu Issa, 6, yang merupakan adik beradik, terbunuh pada Sabtu dalam serangan Israel yang menyasarkan sebuah rumah kediaman di tengah bandar.

Sumber itu berkata, Nabhan, 6, terbunuh dalam satu lagi pengeboman Israel pada Jumaat.

Israel melancarkan serangan ketenteraan berterusan di Genting Gaza yang menyebabkan lebih 33,700 rakyat Palestin, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, terbunuh di Gaza dan hampir 76,400 yang lain cedera.

Israel dituduh melakukan pembunuhan beramai-ramai di Mahkamah Keadilan Antarabangsa. Keputusan sementara pada Januari mengarahkan Tel Aviv menghentikan tindakan pembunuhan beramai-ramai dan mengambil langkah-langkah untuk menjamin bantuan kemanusiaan diberikan kepada orang awam di Gaza.

Author

Pilihan Editor