HomeBeritaDera isteri guna cecair lilin panas, lelaki ditahan polis

Dera isteri guna cecair lilin panas, lelaki ditahan polis

GERIK: Seorang lelaki yang tergamak mendera isterinya dengan mengikat tangan mangsa dan menitiskan cecair lilin panas pada badan wanita itu, ditahan polis pada Ahad.

Ketua Polis Daerah Gerik, Superintenden Zulkifli Mahmood berkata, laporan polis dibuat mangsa berusia 35 tahun itu kira-kira jam 1.35 pagi semalam di Balai Polis Kampung Lalang di sini, mendakwa diugut dan dicederakan suaminya dalam kejadian di Kampung Alai, di sini.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati mangsa didatangi suaminya yang memegang sebilah pisau ketika sedang tidur kira-kira jam 10.30 malam kelmarin, sebelum mengikat kedua-dua tangan mangsa dengan tali dari arah belakang.

Katanya, suspek berusia 42 tahun itu bertindak demikian kerana mendakwa mangsa berlaku curang serta memaksa isterinya mengaku tuduhan itu.

“Suspek turut merentap rantai emas dan gelang tangan dipakai mangsa sehingga terputus, selain turut mengoyakkan baju serta menitiskan cecair lilin pada badan mangsa sambil mengugut untuk membakar isterinya itu. Mangsa bagaimanapun menafikan tuduhan itu,” katanya.

Zulkifli berkata, mangsa berjaya meloloskan diri apabila berpura-pura ingin ke tandas dan meminta suspek membuka ikatan.

“Ketika hendak ke tandas, mangsa menjumpai serangkai kunci kereta di bahagian dapur rumah sebelum mengambil dan melarikan diri dengan menaiki kereta menuju ke balai polis berhampiran membuat aduan,” katanya.

Beliau berkata, suspek berjaya dijejaki serta ditahan sepasukan polis kira-kira jam 8.30 malam tadi (Ahad) di kediamannya juga di Kampung Alai, Gerik serta merampas beberapa barang kes yang dipercayai digunakan suspek.

Menurutnya, mangsa kemudiannya pergi ke Jabatan Kecemasan Hospital Gerik bagi mendapatkan rawatan dengan kes disiasat mengikut Seksyen 506/323 Kanun Keseksaan iaitu ugutan jenayah.

 

 

Author

Pilihan Editor