HomeGlobalIran akan bertindak balas 'dalam beberapa saat' jika Israel menyerang lagi

Iran akan bertindak balas ‘dalam beberapa saat’ jika Israel menyerang lagi

 

TIMBALAN menteri luar negeri bagi hal ehwal politik Iran mengeluarkan amaran keras pada Isnin, mengatakan bahawa sebarang tindakan ketenteraan baharu oleh Israel terhadap negaranya akan mendapat tindak balas segera, hanya ‘dalam beberapa saat’.

Bercakap kepada TV kerajaan, Ali Bagheri Kani, yang juga ketua perunding Iran dalam rundingan nuklear berkata, jika Israel membuat satu lagi ‘kesilapan’, tindak balas akan sangat pantas.

“Sekiranya berlaku kesilapan lagi, mereka akan mendapat tindak balas yang lebih pantas dan kuat,” tegasnya sambil menambah ia bukan dalam beberapa hari atau jam tetapi dalam beberapa saat.

Kenyataannya dibuat di tengah-tengah spekulasi sengit bahawa Israel sedang bersiap sedia untuk bertindak balas terhadap serangan Iran yang berlaku pada Sabtu malam dan melibatkan ratusan dron serta peluru berpandu, menandakan serangan pertama ke atas Israel, lapor Anadolu.

Tindakan ketenteraan Iran adalah sebagai membalas dendam atas serangan 1 April ke atas pekarangan diplomatiknya di ibu negara Syria Damsyik yang membunuh tujuh pegawai tentera Iran, termasuk dua komander berpangkat tinggi Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC) untuk Syria dan Lubnan.

Kani menyebut serangan Israel sebagai ‘kesilapan strategik’, yang katanya memberikan Iran peluang untuk membuat ujian serius terhadap keupayaan ketenteraan dan pertahanannya secara sah.

“Jika ada rasional dalam rejim Zionis, mereka tidak seharusnya mengulangi kesilapan mereka dengan kesilapan lain,” katanya merujuk kepada Israel.

Terdahulu pada Isnin, Menteri Luar Iran Hossein Amir-Abdollahian berkata, Tehran tidak mahu meningkatkan ketegangan, tetapi jika Israel melakukan serangan lain, tindak balas Iran akan menjadi lebih pantas, lebih kuat dan meluas.

Beliau membuat kenyataan itu dalam panggilan telefon dengan rakan sejawatannya dari Britain, David Cameron, sambil menambah bahawa krisis di Asia Barat berpunca daripada peranan Israel yang merosakkan, kata kenyataan Kementerian Luar.

Jurucakap Kementerian Luar Iran, Nasser Kanaani, ketika berucap pada akhbar mingguannya pada pagi Isnin, berkata serangan Iran ke atas Israel adalah perlu dan sesuai serta ditujukan kepada sasaran tentera.

Beliau berkata, tindakan ketenteraan itu menjadi perlu selepas kurangnya tindakan oleh Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan juga disebabkan tingkah laku tidak bertanggungjawab yang ditunjukkan oleh Amerika Syarikat, Britain dan Perancis.

Author

Pilihan Editor