RUMAH tangga milik pasangan penyanyi Adira dan usahawan Datuk Adnan Abu berakhir dengan talak satu, pada pagi Rabu.
Ikatan perkahwinan yang dibina sembilan tahun terlerai setelah suaminya, Adnan, 46, melafazkan cerai talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Barat.
Lafaz tersebut dibuat di hadapan Hakim Syarie, Abdul Hadi Omar sekitar jam 9.45 pagi.
“Bahawa saya Adnan Abu menceraikan Adira Suhaimi dengan talak satu,” lafaznya.
Adnan atau Datuk Red kelihatan sugul dan tertunduk sayu selepas melafazkan cerai manakala Adira pula kelihatan tenang.
Menurut laporan mStar, Adira juga bersetuju untuk tidak menuntut sebarang nafkah terhadap Adnan.
Adnan hadir ke mahkamah ditemani peguam Muhammad Akmal Azman manakala Adira bersama peguamnya, Norman Saidah Zakaria.
Pada 25 Oktober lalu, Adira memfailkan cerai terhadap Adnan di mahkamah sama atas alasan tiada lagi persefahaman.
Adira pernah menfailkan permohonan cerai terhadap Adnan di mahkamah sama pada 1 April 2019.
Bagaimanapun, ketika itu penyanyi tersebut menarik semula tuntutannya untuk memberi peluang kepada suaminya berdamai.
Untuk rekod, pasangan itu telah mendirikan rumah tangga di Songkhla, Thailand pada Disember 2015, dan Adira sebagai isteri kedua.
Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan empat orang cahaya mata iaitu Anggrek, 6; Asan, 5, Anggun, 4; dan Ayob yang kini berusia setahun.