PUSAT Vulkanologi dan Mitigasi Bencana Geologi (PVMVG) mengeluarkan amaran tsunami, selepas sebuah gunung berapi meletus di Gunung Ruang dekat Kabupaten Sitaro, dekat wilayah Sulawesi Utara, Indonesia.
Menurut agensi vulkanologi Indonesia, Gunung Ruang meletus buat kali pertama pada jam 9.45 malam (waktu tempatan) Selasa, disusuli empat letusan lain pada Rabu.
Justeru, penduduk yang tinggal di kawasan berdekatan pantai dinasihatkan untuk mengambil langkah berjaga-jaga serta peka dengan sebarang amaran potensi tsunami yang dikeluarkan.
“Masyarakat di sekitar Gunung Ruang dan pengunjung juga dinasihati agar terus waspada dan tidak memasuki wilayah radius enam kilometer (km) dari pusat kawah aktif Gunung Ruang.
“Masyarakat yang bermukim pada wilayah Pulau Tagulandang yang masuk dalam radius 6 km agar segera dipindahkan ke lokasi selamat di luar radius 6km,” menurut Ketua PVMBG, Hendra Gunawan seperti dilapor Agensi Antara.
Pada masa sama, status letusan gunung berapi di Gunung Ruang itu dinaikkan daripada Tahap III (Siaga) kepada Tahap IV (AWAS).
“Berdasarkan pemerhatian visual dan bacaan yang menunjukkan peningkatan dalam aktiviti gunung berapi, paras amaran Gunung Ruang dinaikkan daripada tahap tiga kepada tahap empat,” kata Hendra.
Tiada laporan mengenai kematian atau kecederaan setakat Rabu.
Namun, lebih 800 orang dari dua perkampungan di Pulau Ruang telah dipindahkan ke lokasi berhampiran, Pulau Tagulandang yang terletak lebih 1.6km ke utara ibu kota wilayah Sulawesi Utara.