HomeGlobalWanita bawa mayat ke bank untuk dapatkan pinjaman

Wanita bawa mayat ke bank untuk dapatkan pinjaman

 

SEORANG wanita di Brazil ditahan selepas dia membawa mayat seorang lelaki tua ke bank, mendakwa dia adalah bapa saudaranya yang akan menandatangani pinjaman bersama, menurut laporan media yang memetik polis tempatan.

Erika de Souza Vieira Nunes, yang mendakwa sebagai anak saudara dan penjaga kepada Paulo Roberto Braga, 68 tahun, membawa mayat itu bank di pinggir bandar Rio pada Selasa dan memberitahu juruwang itu bahawa lelaki itu mahukan pinjaman sebanyak 17,000 reais (AS$3,250/RM15,523.60).

Rakaman dari kamera keselamatan bank menunjukkan wanita itu memegang pen dan menggerakkan tangan lelaki itu yang tidak memberikan sebarang respons.

“Pakcik dengar tak? Kamu perlu tandatangan,” dia dilaporkan berkata kepada lelaki itu, menyuruhnya menurunkan tandatangan. “Tandatangan, supaya kamu tidak beri saya sakit kepala lagi, saya tidak tahan lagi,” tambah wanita itu, sambil memegang leher lelaki itu dari belakang.

“Saya rasa dia tidak sihat. Dia tak nampak sihat langsung,” kata seorang pekerja yang tidak percaya dengan apa yang dilihatnya, namun Nunes menjawab: “Dia memang tidak bercakap, dia memang macam tu.”

Dia kemudiannya berkata kepada si mati: “Jika kamu tidak sihat, saya akan bawa kamu ke hospital.”

Kakitangan bank curiga apabila kepala lelaki itu terus terdongak ke belakang dan mereka segera menghubungi polis yang menangkap wanita itu di tempat kejadian.

Nunes didakwa melakukan penipuan dan mayat tersebut dibawa ke bilik mayat.

“Dia tahu lelaki itu sudah mati… dia sudah mati sekurang-kurangnya dua jam,” pegawai penyiasat, Fabio Luiz Souza, memberitahu program berita Bom Dia Rio pada Rabu.

“Saya tidak pernah bertemu cerita seperti ini dalam 22 tahun [sebagai polis],” tambah Souza, yang berkata tanda-tanda livor mortis jelas kelihatan pada Braga.

Ia kemudiannya disahkan bahawa Braga telah meninggal dunia selama beberapa jam sebelum dibawa ke bank.

Polis berkata, mereka akan meneliti kematian lelaki itu dan akan cuba menentukan sama ada Nunes benar-benar anak saudaranya, dan sama ada orang lain terlibat dalam cubaan menipu bank. – RT

Author

Pilihan Editor