HomeGlobalAzan terus berkumandang di celah runtuhan masjid Gaza yang musnah

Azan terus berkumandang di celah runtuhan masjid Gaza yang musnah

WALAUPUN tentera Israel memusnahkan berpuluh-puluh masjid di Genting Gaza, azan masih berkumandang dari celah-celah runtuhan masjid pada waktu yang ditetapkan.

Di utara Gaza, menara Masjid al-Awda masih berdiri tegak, walaupun serangan udara Israel memusnahkan masjid itu semasa perang berterusan sejak 7 Oktober 2023, lapor Anadolu.

Di sebelah menara yang tinggi dipenuhi runtuhan dengan sisa-sisa masjid bertaburan di sekelilingnya.

Sepanjang Ramadan, masjid itu menjadi kenangan bagi penduduk di utara Gaza, yang sering mengunjunginya untuk solat malam (tarawih) dan beribadat pada bulan puasa.

Dahulu ianya dihiasi secara tradisional untuk sambutan Ramadan, namun tahun ini, suasana bertukar sayu, dengan penduduk berduka mengenangkan masjid yang rosak.

Pada bulan Ramadan setiap tahun, masjid akan menjadi tuan rumah kepada ratusan jemaah sebelum azan Maghrib, berkumpul untuk membaca al-Quran dan menyediakan juadah berbuka puasa untuk golongan yang memerlukan.

Masjid al-Awda, yang dibina hampir 50 tahun lalu, terletak di kem pelarian Jabalia untuk pelarian Palestin.

Berhampiran masjid, warga Palestin, Awwad Shurafa, 55, berasa sangat sedih atas pengeboman yang menimpa masjid dan rumah.

“Kami pernah meraikan dan menghias masjid, tetapi semuanya lenyap kerana peperangan.

“Pasukan pendudukan menyebabkan kemusnahan di mana-mana, merobohkan rumah dan masjid kami, mengusir dan membunuh rakyat Palestin, dan menghapuskan kegembiraan Ramadan,” katanya.

Syurafa mengimbau kenangan Ramadan lalu di dalam masjid, sibuk dengan jemaah tetapi hari ini, segala-galanya seolah-olah hilang.

Begitu juga dengan Masjid Al-Mahatta di kejiranan Tuffah di Kota Gaza yang musnah sama sekali akibat serangan Israel, namun azan terus berkumandang dari celah-celah runtuhan.

Yasser Hassouna, 23, tanpa teragak-agak, pergi ke masjid untuk setiap solat, di mana dia mengumandangkan azan dan membaca al-Quran, bagi melawan Israel.

“Dalam menghadapi pembunuhan beramai-ramai dan menyasarkan masjid, kami datang setiap hari ke Masjid al-Mahatta untuk azan.

“Kami berazam untuk datang ke masjid untuk solat dan melaungkan azan di tengah-tengah perang genosida Israel ke atas Gaza,” katanya.

 

Author

Pilihan Editor