HomeBerita11.55 juta daftar PADU, Perlis dan Kelantan rekod peratusan tertinggi - Rafizi

11.55 juta daftar PADU, Perlis dan Kelantan rekod peratusan tertinggi – Rafizi

CYBERJAYA: Seramai 11.55 juta atau 52.6 peratus warganegara berumur atas 18 tahun berjaya mendaftar dan mengemas kini profil diri di sistem Pangkalan Data Utama (PADU) sehingga pukul 11.59 malam pada 31 Mac 2024.

Angka itu menjadikan 17.65 juta (58.7 peratus) daripada 30.08 juta warga negara Malaysia telah mengemas kini sistem PADU, menurut kenyataan Menteri Ekonomi, pada Isnin.

Dalam kenyataan itu, Rafizi Ramli mengucapkan tahniah kepada pasukan pembangunan sistem PADU di Kementerian Ekonomi, Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), Jabatan Digital Negara, Kementerian Komunikasi dan juga agensi-agensi lain yang terlibat atas usaha menjayakan pelaksanaan PADU.

Menurutnya, selepas pendaftaran PADU ditutup pada 31 Mac, Kementerian Ekonomi selepas ini akan membentangkan perancangan penyasaran semula subsidi kepada jemaah menteri dalam bulan April.

Rafizi berkata, sebarang pengumuman berkenaan subsidi bersasar akan diumumkan kerajaan pada masa akan datang.

Foto: FB PADU Official

“Kepada warganegara yang tidak berjaya mendaftar dan mengemas kini profil di PADU, data pentadbiran yang sedia adalah mencukupi dan akan digunakan untuk kerajaan menentukan kelayakan individu bagi tujuan penyasaran semula subsidi,” katanya.

Dalam kenyataan sama dinyatakan bahawa Perlis merekodkan jumlah pendaftaran tertinggi dengan 66.9 peratus, diikuti Kelantan (65.2 peratus), Terengganu (62.7 peratus), dan Perak (60.3 peratus).

Kedah, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Pulau Pinang, Sabah, Wilayah Persekutuan Labuan dan Putrajaya pula merekodkan pendaftaran melebihi 50 peratus.

Sementara itu Johor, Selangor, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur merekodkan peratus pendaftaran di bawah 50 peratus.

“Sekiranya ada keperluan, Kementerian Ekonomi akan umumkan pembukaan semula PADU untuk tempoh yang singkat bagi pendaftaran dan pengemaskinian, setelah kerajaan membuat keputusan bentuk dan mekanisme subsidi bersasar.

“Di kesempatan ini juga, saya mengucapkan penghargaan saya kepada semua rakyat Malaysia yang telah mengambil inisiatif untuk mendaftar PADU,” ujarnya.

Author

Pilihan Editor