HomeGlobalBerang tak dapat motosikal, lelaki tergamak belasah ibu kandung

Berang tak dapat motosikal, lelaki tergamak belasah ibu kandung

SEORANG lelaki tergamak memukul ibu kandungnya, gara-gara permintaan untuk memperoleh sebuah motosikal idamannya tidak dituruti.

Dalam kejadian pada Rabu lalu, lelaki yang dikenali sebagai Efransyah, 25, memaksa ibunya, Suspaidani, 49, untuk membelikannya motosikal jenis Yamaha RX-135 atau RX-King.

Namun, wanita itu memberitahu bahawa, dia tidak mempunyai wang yang cukup untuk membeli kenderaan tersebut.

Alasan tersebut bagaimanapun tidak dapat diterima Efransyah, seterusnya menyebabkan lelaki itu naik angin dan menyerang ibunya.

Akibat serangan itu, wanita tersebut mengalami kecederaan di muka dan dikejarkan ke Hospital Daerah Datu Beru Takengon, di Kabupaten Aceh Tengah, dekat Aceh, Indonesia untuk menerima rawatan.

Sementara itu, adik mangsa sudah pun melaporkan kejadian tersebut kepada pihak polis, sebelum suspek ditahan di lokasi kejadian di Paya Tumpi, Kebayakan, dekat Kabupaten Aceh Tengah.

Foto mangsa yang mengalami kecederaan di muka turut berlegar-legar di media sosial dan dikongsi semula oleh netizen.

Seperti dijangka, perbuatan lelaki tersebut dihujani dengan kecaman dan disifatkan sebagai anak derhaka di media sosial.

@Heraloebss menulis: “Anak derhaka layak disumbatkan ke dalam penjara sama seperti penjenayah yang lain.”

Tambah @itsandhere: “Anak macam ini memang patut dipukul. Tak layak untuk hidup lagi.”

@hima_yp menyoal: “Dah tua dan bermisai macam tu pun masih nak minta motosikal dekat ibu?”

Turut mengecam, @erastusmakatu berkata: “Semoga dipenjara dan rasa sakit seperti mana yang ibunya rasakan.” – Agensi

 

Author

Pilihan Editor