HomeBeritaSPR tubuh 2 pasukan Penguat Kuasa Kempen Pilihan Raya

SPR tubuh 2 pasukan Penguat Kuasa Kempen Pilihan Raya

SEBANYAK dua pasukan Penguat Kuasa Kempen Pilihan Raya ditubuhkan, bagi memantau aktiviti calon yang bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Ghani Salleh berkata, semua kaedah dan bahan kempen dibenarkan selagi tidak mengembangkan perasaan jahat, tidak puas hati, permusuhan atau berunsur perkauman.

Selain itu, beliau berkata, kaedah dan bahan kempen juga hendaklah tidak menyentuh sensitiviti keagamaan termasuk isu 3R iaitu kaum, agama dan institusi diraja, selain tidak melanggar Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 (Akta 5) dan undang-undang lain.

“SPR berharap aktiviti berkempen berjalan dalam suasana yang penuh harmoni serta mengikut undang-undang dan peraturan-peraturan yang ditetapkan,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Beliau berkata, calon yang telah membayar deposit bahan kempen pilihan raya juga tertakluk kepada undang-undang kecil pihak berkuasa tempatan bagi tujuan mempamer dan mengedarkan bahan kempen yang mengandungi gambar calon, lambang/simbol parti serta gambar pemimpin parti gabungan/komponen.

“Tiada had ditetapkan kepada gambar bagi parti politik yang bertanding dan gambar pemimpin parti politik komponen/gabungan/pakatan pada bahan kempen pilihan raya,” katanya.

Selepas pengisytiharan nama-nama calon yang akan bertanding dalam PRK berkenaan pada Sabtu, masa berkempen kini bermula sehingga 11.59 malam, 10 Mei depan.

PRK Kuala Kubu Baharu menyaksikan pertandingan empat penjuru di antara Khairul Azhari Saut (Perikatan Nasional), Pang Sock Tao (Pakatan Harapan), Nyau Ke Xin (Bebas) dan Hafizah Zainudin (Parti Rakyat Malaysia).

PRK tersebut diadakan susulan kematian penyandangnya Lee Kee Hiong, 58, pada 21 Mac lepas akibat kanser.

SPR menetapkan hari pengundian bagi PRK berkenaan pada 11 Mei manakala pengundian awal pada 7 Mei.

PRK Kuala Kubu Baharu merupakan PRK ketujuh yang diadakan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 pada 2022.

PRK kali ini akan menyaksikan jumlah pemilih seramai 40,226 orang yang terdiri daripada 39,362 orang pengundi biasa, 238 (tentera dan pasangan) serta 625 orang anggota polis termasuk seorang pengundi yang tidak hadir kerana berada di luar negara.

 

Author

Pilihan Editor