HomeBeritaAkta Laut Wilayah masih sah termasuk di Terengganu - PMO

Akta Laut Wilayah masih sah termasuk di Terengganu – PMO

PEJABAT Perdana Menteri (PMO) memaklumkan bahawa, Akta Laut Wilayah 2012 (Akta 750) masih sah dan terpakai di seluruh Malaysia termasuk di Terengganu.

Ini meskipun Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu membuat keputusan menolak pemakaian akta itu, melainkan ia diisytiharkan sebaliknya oleh mahkamah.

Tegas PMO, Kerajaan Persekutuan berpendirian bahawa, Akta 750 telah dibuat dan diluluskan oleh Parlimen secara sah di sisi Perlembagaan Persekutuan.

“Adalah menjadi tanggungjawab Kerajaan Persekutuan untuk memastikan hak kedaulatan Malaysia termasuk perairan Malaysia sentiasa dilindungi,” menurut PMO dalam kenyataan pada Sabtu.

Kenyataan sama memaklumkan, tujuan Akta 750 digubal adalah bagi mengadakan peruntukan mengenai laut wilayah Malaysia dan memelihara keutuhan sempadan wilayah dan hak kedaulatan Malaysia, serta bagi menjamin keutuhan keselamatan dan integriti wilayah.

Menurut kenyataan itu lagi, penggubalan akta tersebut juga adalah bagi memenuhi obligasi Malaysia di bawah Konvensyen Undang-undang Laut 1982 (UNCLOS).

“Selaras dengan nilai-nilai Malaysia Madani, sekali lagi dinyatakan di sini bahawa Kerajaan Persekutuan sentiasa memberikan peruntukan pembangunan kepada semua negeri termasuk Terengganu,” katanya.

Terdahulu, kerajaan negeri Terengganu menolak penguatkuasaan Akta Laut Wilayah 2012 yang menafikan hak negeri untuk menerokai sumber dan hasil, melalui sempadan maritim negeri sekadar tiga batu nautika (5.5 kilometer) sahaja dari garis air surut wilayah Terengganu.

Menurut Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, keputusan sebulat suara itu dicapai dalam Persidangan DUN Terengganu Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Terengganu ke-15 pada Khamis.

 

Author

Pilihan Editor