SETIAUSAHA Negara Amerika Syarikat (AS), Antony Blinken bersedia untuk mengumumkan sekatan terhadap batalion ‘Netzah Yehuda’ tentera Israel kerana melakukan pencabulan hak asasi manusia di Tebing Barat yang diduduki, lapor laman web berita Amerika Axios.
Menurut Axios memetik tiga sumber AS yang tahu perkara itu, langkah ini sangat penting kerana ia pertama kali AS mengenakan sekatan ke atas unit tentera Israel.
Sekatan itu dijangka melarang batalion dan anggotanya daripada menerima sebarang bentuk bantuan atau latihan ketenteraan AS, seperti yang digariskan oleh undang-undang 1997 yang diusul oleh Senator Patrick Leahy, kata akhbar itu.
Undang-undang Leahy melarang bantuan AS dan program latihan Jabatan Pertahanan daripada diberikan kepada unit keselamatan, tentera dan polis asing yang dipercayai telah melakukan pelanggaran hak asasi manusia.
Keputusan untuk menyekat unit Netzah Yehuda dibuat berikutan syor beberapa bulan lalu oleh panel khas Jabatan Negara yang ditugaskan untuk menyiasat dakwaan pelanggaran hak asasi manusia mengikut undang-undang Leahy.
Laman web penyiasatan ProPublica menerbitkan laporan pada Rabu, yang mendedahkan jawatankuasa khas di bawah Kementerian Luar Negeri telah menasihati menteri itu bahawa AS harus mengehadkan penjualan senjata kepada unit tentera Israel yang dituduh melanggar hak asasi manusia.
“Tetapi Blinken gagal bertindak atas cadangan itu ketika berdepan kritikan antarabangsa yang semakin meningkat terhadap kelakuan tentera Israel di Gaza, menurut bekas dan pegawai semasa Jabatan Negara,” lapor ProPublica.
Menurut Axios, Blinken bagaimana pun mengesahkan cadangan itu semasa sidang akhbar di Itali pada Jumaat, menyatakan bahawa ketentuan dibuat berdasarkan siasatan panel.
Axios selanjutnya melaporkan bahawa keputusan Blinken tentang unit Netzah Yehuda adalah berdasarkan insiden yang berlaku sebelum 7 Oktober.
Batalion Netzah Yehuda, yang pada mulanya dibentuk sebagai unit khas untuk askar ultra-Ortodoks, berada dalam pemerhatian selama bertahun-tahun kerana penglibatannya dalam insiden keganasan terhadap orang awam Palestin.
Bertindak balas kepada sekatan yang bakal berlaku, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu menyuarakan bantahan, menyatakan bahawa sekatan tidak boleh dikenakan ke atas tentera Israel.
Netanyahu berkata, kerajaannya akan bertindak dengan segala cara bagi menentang langkah itu, lapor The Palestine Chronicle.