HomeBeritaDOF gesa langkah bersepadu tangani pencemaran plastik

DOF gesa langkah bersepadu tangani pencemaran plastik

JABATAN Perikanan (DOF) menyarankan bahawa, langkah bersepadu melibatkan kerajaan, perniagaan, komuniti dan individu sangat diperlukan bagi menangani isu pencemaran plastik.

Tegas DOF, semua pihak perlu mengurangkan pencemaran dan penggunaan plastik, meningkatkan kecekapan sistem pengurusan sisa selain menggalakkan penggunaan bahan alternatif bagi menangani isu itu.

Menurut DOF, pihaknya menjalankan kajian pencemaran mikroplastik dan makroplastik sejak 2019 di persekitaran akuatik Semenanjung Malaysia, khususnya bahagian barat laut dan pantai timur, Labuan serta dalam tisu ikan komersial dan kerang-kerangan.

“Dapatan kajian menunjukkan jenis plastik yang kerap ditemui dalam persekitaran akuatik tempatan dan global ialah rayon, polietilena dan polipropilena.

“Jenis plastik ini digunakan secara meluas dalam kehidupan seharian terutama dalam industri pakaian, pembungkusan makanan dan lain-lain industri,” katanya menerusi kenyataan sempena Hari Bumi Sedunia pada Isnin.

Dalam kenyataan sama, DOF memaklumkan bahawa, bahan kimia digunakan dalam penghasilan plastik seperti bispenol A (BPA) dan phthalate boleh dirembes dan berakumulasi dalam persekitaran dan sumber makanan.

Justeru, katanya, ia menimbulkan kebimbangan mengenai kesan jangka panjang bahan itu terhadap kesihatan sejagat.

“Hubung kait antara bahan kimia ini dengan masalah kesihatan seperti ketidakseimbangan hormon serta masalah reproduksi telah banyak dilaporkan,” menurut kenyataan itu.

Pada masa sama, DOF memaklumkan, pendedahan berterusan mikroplastik pada kepekatan yang tinggi kepada ikan akan mengakibatkan pelbagai impak negatif seperti tekanan oksidatif, keradangan, imunotoksik, genotoksik, kerosakan DNA serta mengubah mikrobiota usus yang memberi kesan kepada pertumbuhan dan kualiti ikan.

“Selain itu, kepadatan mikroplastik yang tinggi di pantai penetasan penyu akan meningkatkan suhu pasir pantai sekali gus mengancam perkembangan penetasan penyu,” katanya.

Sehubungan itu, DOF mengajak semua pihak untuk bersama-sama melindungi bumi daripada ‘kesengsaraan’ pencemaran plastik.

Sempena Hari Bumi, DOF juga telah melaksanakan pelepasan 100 induk ikan kelisa emas di Tasik Bukit Merah, Perak pada Ahad, sebagai usaha memulihara serta menjamin kelestarian sumber khazanah bumi.

 

Author

Pilihan Editor