HomeGlobalRasa tak sedap hati selamatkan jurutol daripada maut

Rasa tak sedap hati selamatkan jurutol daripada maut

 

TINDAKAN seorang jurutol yang tidak jadi pergi bekerja pada Jumaat lalu kerana rasa tidak sedap hati telah menyelamatkan nyawanya.

Jessica Daley yang bekerja sebagai jurutol di sepanjang Garden State Parkway di New Jersey, terjaga kira-kira jam 2 pagi pada hari Jumaat setelah mendapat apa yang boleh dianggap sebagai firasat.

“Saya mempunyai perasaan seolah-olah…, perasaan bahawa sesuatu yang buruk akan berlaku. Seperti sesuatu yang dahsyat akan berlaku,” katanya dalam temu bual dengan NBC New York.

Sekitar jam 4 pagi Daley sekali lagi diselbungi ketakutan, dan kali ini perasaan itu lebih spesifik.

“Saya sebenarnya rasa yang saya akan mengalami kemalangan kereta,” katanya.

Daley berkata, dia tidak pernah ponteng kerja, tetapi perasaan itu ‘sangat kuat’ sehingga dia tidak mampu untuk masuk dalam kereta dan pergi ke tempat kerja di Plaza Tol Barnegat.

Hanya beberapa jam kemudian, Daley mendengar berita bahawa berlaku kemalangan dahsyat yang melibatkan sebuah lori sampah di plaza tol tersebut.

“Pondok tol yang dilanggar trak itu adalah tempat saya selalu berada,” katanya.

Nahas berlaku kira-kira empat jam selepas Daley memutuskan untuk tidak pergi kerja, dan ia mengakibatkan runtuhan menghempap trak pikap Chevy dan pondok tol itu.

Seorang jurutol dan pemandu lori sampah mengalami kecederaan parah akibat kemalangan itu.

Menyedari firasat itu telah menyelamatkan nyawanya, Daley berkata, dia berlutut dan mula menangis.

“Saya berdoa untuk semua yang terlibat dan berterima kasih kepada Tuhan kerana saya diberi rasa tak sedap hati itu,” katanya.

Ibu Daley, Jennifer Daley, percaya bahawa naluri anak perempuannya adalah ‘malaikat atau alamat daripada malaikat penjaga untuk melindunginya’.

Pengalaman Daley mengukuhkan lagi kepercayaannya, terutamanya selepas dia mula lebih dekat dengan Tuhan sejak kebelakangan ini.

“Saya percaya 100 peratus Tuhan menjaga saya,” katanya.

Daley kembali bekerja hanya sehari selepas nahas itu, yang dalam siasatan polis negeri.

Jurucakap New Jersey Turnpike Authority berkata, jurutol yang cedera dibawa ke hospital selepas kemalangan itu, tetapi pulang ke rumah lewat hari tersebut. – Unilad

Author

Pilihan Editor