HASRAT pelakon, Ruhainies untuk berdamai bersama kekasih gelap Aliff Aziz iaitu Sarah Yasmine tidak kesampaian, apabila Sarah secara mentah-mentah menolak permohonan maaf tersebut.
Menerusi hantaran di Instastory, Sarah berkata, dia berasa serik apabila peluang kedua yang diberikan terhadap pelakon wanita itu sebelum ini disia-siakan begitu sahaja.
“Saya sudah beri awak kesempatan untuk berlaku jujur dua kali dan dua kali jugalah awak tipu saya.
“Apa yang buat awak terfikir bahawa saya akan percaya setiap perkataan yang awak cakap kali ini, jadi kenyataan saya terhadap permohonan maaf awak masih tidak. Tidak!” tulisnya pada Jumaat.Â
Mengulas mengenai pelawaan untuk bersemuka pula, Sarah percaya bahawa ajakan itu bukanlah datang daripada Ruhainies, sebaliknya ia ditulis oleh Aliff.
Hal ini kerana, menurutnya, dia sudah mengenali Aliff bagi tempoh lama dan lali dengan sikap bekas kekasih gelapnya itu.
Dalam pada itu, Sarah berkata, dia sudah pun menyekat nombor telefon salah seorang kenalan Ruhainies yang cuba menghubunginya sebelum ini di aplikasi WhatsApp.
Terdahulu, Media Variasi melaporkan bahawa, Ruhainies tampil memohon maaf serta menyatakan hasrat untuk bersemuka dengan Bella Astilah, setelah sekian lama menyepikan diri tanpa sebarang kenyataan.
Ruhainies berkata, keputusan tersebut dibuat bertujuan menjernihkan keadaan agar semua perkara berbangkit dapat diselesaikan.
Selain itu, Ruhainies turut mengundang Sarah untuk menyertai pertemuan antara dirinya dengan Bella untuk menyelesaikan semua perkara.
Sebelum ini, Sarah membuat pengakuan berani mati apabila mendakwa dirinya sebagai kekasih gelap Aliff sejak Januari lalu, sekali gus membuka episod baharu kisah kecurangan penyanyi dan pelakon kelahiran Singapura itu.
Menerusi pendedahan dimuat naik di Instagram, Sarah turut membongkarkan beberapa tangkap layar perbualan di aplikasi WhatsApp dipercayai membabitkan Aliff dan Ruhainies yang dinamakan sebagai NRF.
Antara nama selebriti yang terpalit dalam pendedahan itu termasuk Caprice, Emma Maembong dan Chacha Maembong.
Mac lalu, kontroversi rumah tangga Aliff dan Bella tercetus, selepas Aliff ditangkap khalwat dengan Ruhainies di sebuah kondominium mewah, di ibu negara.
Tidak tahan kerap menjadi mangsa curang dan mendakwa Aliff melakukannya sebanyak 11 kali, Bella memfailkan cerai di Mahkamah Rendah Syariah Kuala Lumpur pada 11 Mac lalu.
Untuk rekod, Bella dan Aliff mendirikan rumah tangga pada 9 September 2016.
Hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan dua cahaya mata iaitu Mohamad Ayden Adrean dan Ara Adreanna, yang masing-masing berusia 7 dan 4 tahun.