HomeHiburanRuhainies mohon maaf, nyata hasrat bersemuka dengan Bella, Sarah

Ruhainies mohon maaf, nyata hasrat bersemuka dengan Bella, Sarah

PELAKON, Ruhainies akhirnya tampil memohon maaf serta menyatakan hasrat untuk bersemuka dengan Bella Astilah, setelah sekian lama menyepikan diri tanpa sebarang kenyataan.

Menerusi hantaran di Instastory, Ruhainies atau nama sebenarnya Nur Ruhainies Farehah Zainul Ilyas, 32, berkata, keputusan tersebut dibuat bertujuan menjernihkan keadaan agar semua perkara berbangkit dapat diselesaikan.

Dalam hantaran sama, Ruhainies turut mengundang kekasih gelap aktor Aliff Aziz iaitu Sarah Yasmine, untuk menyertai pertemuan antara dirinya dengan Bella untuk menyelesaikan semua perkara.

“Saya dengan ikhlas hati mahu memohon maaf kepada Bella Astillah berhubung semua yang berlaku.

“Saya berharap kita dapat bertemu untuk menjernihkan keadaan agar kita dapat menutup perkara ini dan meneruskan kehidupan serta kembali gembira.

“Saya benar-benar berharap Bella Astillah dan Sarah Yasmine memberi peluang kepada saya untuk bertemu dengan mereka,” tulisnya pada Jumaat.

Dalam perkembangan sama, Ruhainies berkata, dia membuat keputusan untuk mengunci mulut mengenai kontroversi itu bagi mengelak pergaduhan di media sosial dan memanjangkan isu berkenaan.

Pada masa yang sama, Ruhainies dengan rendah diri turut memohon maaf kepada semua pihak yang terlibat dan terkesan dengan kontroversi membabitkan dirinya.

“Sekali lagi saya dengan rendah hati memohon maaf atas apa yang sudah berlaku,” ujarnya.

     

Terdahulu, Sarah membuat pengakuan berani mati apabila mendakwa dirinya sebagai kekasih gelap Aliff sejak Januari lalu, sekali gus membuka episod baharu kisah kecurangan penyanyi dan pelakon kelahiran Singapura itu. 

Menerusi pendedahan dimuat naik di Instagram, Sarah turut membongkarkan beberapa tangkap layar perbualan di aplikasi WhatsApp, dipercayai membabitkan Aliff dan Ruhainies yang dinamakan sebagai NRF.

Antara nama selebriti yang terpalit menerusi pendedahan itu termasuk Caprice, Emma Maembong dan Chacha Maembong.

Mac lalu, kontroversi rumah tangga Aliff dan Bella tercetus, selepas Aliff ditangkap khalwat dengan Ruhainies di sebuah kondominium mewah, di ibu negara.

Tidak tahan kerap menjadi mangsa curang dan mendakwa Aliff melakukannya sebanyak 11 kali, Bella memfailkan cerai di Mahkamah Rendah Syariah Kuala Lumpur pada 11 Mac lalu.

Untuk rekod, Bella dan Aliff mendirikan rumah tangga pada 9 September 2016.

Hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan dua cahaya mata iaitu Mohamad Ayden Adrean dan Ara Adreanna, yang masing-masing berusia 7 dan 4 tahun.

Author

Pilihan Editor