HomeBeritaTarikh akhir kemuka e-Borang TT 2023 pada 15 Mei

Tarikh akhir kemuka e-Borang TT 2023 pada 15 Mei

LEMBAGA Hasil Dalam Negeri (LHDN) memaklumkan bahawa, tarikh akhir pengemukaan e-Borang Tahun Taksiran 2023 (TT 2023) bagi individu pemastautin yang tidak menjalankan perniagaan dilanjutkan daripada 30 April kepada 15 Mei depan.

Menerusi kenyataan pada Jumaat, LHDN berkata, pelanjutan pada tarikh sama juga membabitkan pembayar cukai kategori Individu Pemastautin (pekerja berpengetahuan /berkepakaran /bukan warganegara memegang jawatan utama) dan Individu Bukan Pemastautin.

Turut terlibat dalam pelanjutan itu adalah Individu Bukan Pemastautin (pekerja berpengetahuan), Pertubuhan, Harta Pusaka dan Keluarga Sekutu Hindu.

“Sementara itu, tarikh akhir pengemukaan e-Borang Tahun Taksiran 2023 bagi kategori Majikan Syarikat/ Syarikat Labuan dan Majikan Bukan Syarikat /Syarikat Labuan dilanjutkan daripada 31 Mac kepada 30 Mei depan,” menurut kenyataan tersebut.

LHDN seterusnya menyarankan pembayar cukai untuk melapor pendapatan dengan mengemukakan e-Borang dan membuat pembayaran (sekiranya ada) dalam tempoh yang ditetapkan, bagi mengelakkan sebarang penalti dan kenaikan cukai.

Pembayar cukai juga perlu mengisi maklumat diri dan perbankan yang tepat serta terkini bagi membantu kelancaran proses bayaran balik cukai sekiranya ada.

Sebagai panduan berkenaan pengemukaan e-Borang, pembayar cukai dinasihatkan untuk merujuk kepada Program Memfail Borang Nyata (BN) Bagi Tahun 2024 yang boleh diakses dan dimuat turun menerusi pautan berikut:-

i. Bahasa Malaysia: https://www.hasil.gov.my/media/5u5aympa/program-memfail-borang-nyata-tahun-2024.pdf

ii. Bahasa Inggeris: https://www.hasil.gov.my/media/fw2jk2fd/rf-filing-programme-for-the-year-2024.pdf

iii. Sepintas e-Buku HASiL 2024 : https://www.hasil.gov.my/eduzone/risalah-cukai/risalah-cukai-2024/sepintas-e-buku-hasil/

Tambah LHDN, mulai 1 Januari tahun ini, penggunaan e-Perkhidmatan secara mandatori bagi perkhidmatan-perkhidmatan yang telah disediakan oleh pihaknya secara dalam talian boleh diakses menerusi portal MyTax di http://mytax.hasil.gov.my.

Menurutnya, ia bertujuan memberi akses yang mudah, selamat dan pantas kepada para pembayar cukai dalam melaksanakan urusan percukaian tanpa perlu hadir ke pejabat LHDN.

“Sebarang pertanyaan dan maklum balas, hubungi HASiL Contact Centre (HCC) di talian 03-89111000/ 603-89111000 (luar negara); HASiL Live Chat dan Borang Maklum Balas di portal rasmi HASiL di http://maklumbalaspelanggan.hasil.gov.my/Public/

Author

Pilihan Editor