HomeSukanE-sukanTiada keperluan wujud pusat rehabilitasi buat belia hidap IGD

Tiada keperluan wujud pusat rehabilitasi buat belia hidap IGD

PUCHONG: Komuniti e-sukan sebulat suara tidak bersetuju dengan cadangan mewujudkan pusat rehabilitasi buat golongan belia, yang berdepan dengan isu kecelaruan permainan internet (IGD).

Perkara itu dibangkitkan ketika sesi Perbincangan Meja Bulat (RTD) di Dewan ESports Integrated (ESI), Spacerubix, di sini pada Rabu.

Menurut salah seorang wakil yang hadir, Mox Dadameah, cadangan itu dikhuatiri akan memburukkan lagi nama e-sukan, berikutan wujudnya persepsi segelintir pihak bahawa, permainan video dalam talian (gaming) hanya memberi unsur negatif.

Mox Dadameah

Mox yang juga Pengasas Media Variasi eRacing Gran Turismo (MVEGT) berkata, penubuhan sebuah badan bukan kerajaan (NGO) sebaliknya disarankan, bagi memantau sebarang isu berkaitan IGD dalam kalangan pemain e-sukan.

Menerusi NGO itu, katanya, pemain e-sukan akan disaring bagi memastikan mereka tidak berdepan dengan sebarang simptom penyakit tersebut.

“NGO tersebut akan mengumpul maklumat dan data pemain sebelum laporan dihantar kepada Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh.

“Justeru, menteri berkaitan akan meneliti semula sama ada mahu meneruskan rancangan mewujudkan pusat rehabilitasi untuk pemain yang berisiko berdepan IGD,” katanya kepada Media Variasi.

Menurut Hermina Hospital, fenomena IGD muncul akibat daripada ketidakmampuan untuk mengendalikan penggunaan internet dan permainan video dalam talian.

Mengulas lanjut, Mox berkata, komuniti e-sukan juga seharusnya menganjurkan kempen kesedaran kepada masyarakat bahawa dunia e-sukan dan permainan video dalam talian bukanlah sesuatu perkara buruk.

Sebaliknya, beliau berkata, ia juga adakalanya mampu menjamin masa depan buat mereka yang sedang menceburi bidang tersebut.

“Kita perlu sebarkan kesedaran di platform media sosial seperti TikTok, Facebook, Instagram, YouTube supaya masyarakat sedia maklum ia bukanlah perkara tidak elok,” tambahnya.

Antara wakil e-sukan yang hadir ketika sesi Perbincangan Meja Bulat (RTD), yang membincangkan keperluan cadangan mewujudkan pusat rehabilitasi buat golongan belia yang berisiko berdepan IGD.

Terdahulu, RTD tersebut dianjurkan bagi mendapatkan pandangan dari pelbagai pihak berkepentingan yang pelbagai, ke arah memformulasi strategi untuk menangani isu IGD dalam kalangan belia.

Ia dihadiri oleh kira-kira 20 wakil e-sukan dan pakar kesihatan dari seluruh negara termasuk Pemilik Team Homebois, Nureddy Nursal (Daddyhood); Pemain Profesional e-sukan, Ramona Azween Zaharuddin; Pakar Perunding Kesihatan Awam, Pusat Kecemerlangan Kesihatan Mental Kebangsaan (NCEMH), Dr Nurashikin Ibrahim; dan Perunding Psikiatri Kanak-Kanak dan Remaja, Hospital Kuala Lumpur (HKL), Dr. Ramli Mohd Ali.

 

Author

Pilihan Editor