HomeSukanE-sukanRM250,000 jadi rebutan dalam MEC23/24

RM250,000 jadi rebutan dalam MEC23/24

CYBERJAYA: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menawarkan sebanyak RM250,000 wang terkumpul bagi kejuaraan Esukan Malaysia 2023/2024 (MEC23/24) untuk musim ketiga.

Menurut KBS, kejohanan itu menampilkan lima permainan itu Player Unknown’s Battleground (PUBG) Mobile, Mobile Legends: Bang Bang (MLBB), DOTA 2, Tekken 7 dan Gran Turismo 7.

Tambahnya, juara bagi PUBG Mobile, MLBB dan DOTA 2 bakal membawa pulang hadiah bernilai RM30,000.

Sementara itu, tempat kedua dan ketiga bagi ketiga-tiga permainan masing-masing akan memperoleh RM15,000 dan RM10,000.

“Bagi tempat keempat pula, pemenang berpeluang mendapat RM7,500.

“Terdapat juga hadiah MVP (Pemain Paling Bernilai) sebanyak RM5,000 dan hadiah Rookie Terbaik sebanyak RM2,500.

“Untuk Tekken 7 dan Gran Turismo 7, hadiah juara adalah RM7,500, tempat kedua mendapat RM5,000, manakala tempat ketiga dan keempat masing-masing memperoleh RM3,000 dan RM2,000,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Dalam kenyataan sama, KBS berkata, pusingan kelayakan dalam talian bagi PUBG Mobile akan berlangsung mulai 15 hingga 20 Januari ini, manakala playoffs secara fizikal dan perlawanan akhir pada 26 hingga 28 Januari.

Katanya, DOTA 2 dan MLBB akan diadakan pada 15 hingga 10 Januari bagi pusingan kelayakan dalam talian, sementara playoffs secara fizikal dan perlawanan akhir akan berlangsung pada 2 hingga 4 Februari.

“Perlawanan secara fizikal bagi Tekken 7 dan Gran Turismo 7 pula dijadualkan pada 26 hingga 28 Januari,” katanya.

MEC23/24 dianjurkan oleh KBS melalui Esports Integrated (ESI), dengan sokongan daripada Rakan Minuman Rasmi, Susu Goodday Malaysia dan Rakan Pelaksana, Rakan Muda dan Rakan Digital.

Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat terkini mengenai MEC23/24 boleh mengikuti media sosial YouTube, Facebook dan Instagram @esportsintegrated.

Author

Pilihan Editor