NILAI: Pertama kali mewakili negara pada temasya Sukan Komanwel membakar semangat dua petinju muda, Muhammad Abdul Qaiyum Ariffin dan Sheikh Rahmatullah Ibrahim untuk menampilkan aksi terbaik sekali gus meraih pingat pada edisi di Birmingham dari 28 Julai hingga 8 Ogos depan.
Muhammad Abdul Qaiyum, 21, yang akan beraksi bagi kategori 48 kilogram (kg) kini fokus untuk memperbaiki serta memperkemas kemahiran dan teknik bagi menghadapi temasya sukan itu.
Beliau yang sudah lama mengimpikan mewakili negara pada Sukan Komanwel, akan memastikan peluang diberikan itu dimanfaatkan sebaiknya.
“Saya baru habis kejohanan di Perlis baru-baru ini dan sudah bersedia untuk menghadapi perlawanan akan datang. Bagi tempoh sebulan ini saya ingin betulkan kemahiran, kemaskan lagi teknik dan sebagainya,” katanya kepada pemberita selepas sesi latihan di Kompleks Sukan Majlis Sukan Negara (MSN) di sini hari ini.
Pemenang pingat gangsa di Kejohanan Tinju Asia di Uzbekistan, Sheikh Rahmatullah, 21, turut berazam meraih pingat buat kontinjen negara dalam kategori 54 kg di Birmingham.
Muhammad Abdul Qaiyum dan Sheikh Rahmatullah akan menjalani latihan serta menyertai kejohanan di Thailand pada minggu depan sebagai persiapan terakhir sebelum menyertai Sukan Komanwel.
Sementara itu, Timbalan Ketua Kontinjen (CDM) Malaysia ke Sukan Komanwel Birmingham 2022, Gerard Monteiro berharap dua peninju itu dapat melangkah ke peringkat separuh akhir selain menghadiahkan pingat buat kontinjen negara pada temasya sukan berprestij itu.
Kali terakhir Malaysia meraih pingat dalam sukan tinju ialah pada edisi 2002 di Manchester melalui Zamzai Azizi Mohamad yang meraih gangsa, manakala pencapaian terbaik adalah menerusi Sapok Biki, yang memenangi emas kategori light fly (48 kg) pada edisi 1998 di Kuala Lumpur. –Â BERNAMA