KANGAR: Sebanyak 100 rumah di beberapa kampung mengalami kerosakan khususnya pada bahagian bumbung dalam kejadian hujan lebat dan ribut yang melanda negeri ini, semalam.
Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Perlis Lt. Kol (PA) Mohd Izaimi Md Daud berkata, sehingga kini pihaknya menerima laporan sebanyak 100 rumah terkesan akibat kejadian ribut yang bermula dari 10 pagi hingga lewat petang itu.
“Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan anggaran kerugian masih dalam penilaian,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Beliau berkata, APM menasihati orang ramai agar sentiasa berwaspada dengan keadaan cuaca yang tidak menentu ketika ini dan peka dengan amaran bencana yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa.
“Saya harap orang ramai patuh dengan arahan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa dan menyimpan barang-barang berharga di tempat selamat,” katanya.
Semalam Bernama melaporkan lebih 50 rumah mengalami kerosakan akibat ribut yang melanda Perlis.
Antara kawasan yang terjejas ialah Mata Ayer, Kampung Panggas Kechil, Kampung Lubok Besar, Kuala Perlis, Padang Pauh, Lubuk Sireh, Kangar, Abi, Bukit Keteri, Kurung Batang, Balik Bukit, Wang Besar dan Beseri.
Menurut laman web Jabatan Meteorologi Malaysia, cuaca hujan pada sebelah pagi dan ribut petir pada sebelah petang di satu dua tempat di kawasan pedalaman di negeri ini akan berterusan sehingga Ahad (17 Julai). – BERNAMA