TAWAU: Takut dicekup, seorang lelaki yang juga juragan bot bertindak membuang sebuah beg berisi 32 kilogram (kg) dadah jenis syabu dianggarkan bernilai RM1.76 juta di perairan Inderasabah dekat sini malam tadi, selepas dikejar bot peronda Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).
Pengarah APMM Zon Maritim Tawau, Kepten Maritim Shahrizan Raman berkata, rampasan dadah menerusi Op Sejahtera pada 11.30 malam itu sekali gus menggagalkan sindiket pengedaran syabu yang dipercayai didalangi warga tempatan dan negara jiran.
“Peronda Maritim Malaysia mengesan sebuah bot laju yang mencurigakan dan juragan bot ini tiba-tiba memecut laju bot ke arah muara Sungai Inderasabah selepas menyedari bot dikendalikannya dihampiri pihak peronda.
“Dalam lima minit peronda mengejar dan kerana panik juragan bot membuang satu bungkusan ke laut, selain juragan terdapat kelibat seorang lagi individu dipercayai kru bot, bagaimanapun suspek meloloskan diri ke kawasan paya bakau di sekitar Inderasabah,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.
Dalam pada itu, Shahrizan berkata pencarian bungkusan itu di perairan Inderasabah membawa kepada penemuan sebuah beg dan pemeriksaan lanjut mendapati beg berkenaan mengandungi 32 peket bungkusan dengan label teh Cina ‘Guan Ying Wang’, yang setiap satu berisi syabu seberat 1 kg.
“Kita percaya dadah ini diproses di Malaysia untuk pasaran Indonesia,” katanya dan menambah ia merupakan rampasan dadah terbesar pernah dilakukan Zon Maritim Tawau.
Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kegiatan jenayah di perairan Zon Maritim Tawau diminta tampil menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa dengan menghubungi talian 089752116 atau MERS999. – BERNAMA