HomeGaya HidupECERDC martabatkan warisan Melayu Kampung Laut usia 400 tahun

ECERDC martabatkan warisan Melayu Kampung Laut usia 400 tahun

TUMPAT: Perkampungan Melayu di Kampung Laut, di negeri Kelantan berusia lebih 400 tahun, bakal menjadi tumpuan baharu pelancongan negara dengan konsep Muzium Hidup atau ‘Living Museum’.

Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC), mengambil inisiatif untuk meningkatkan kualiti pelancongan di Kampung Laut dengan mengekalkan tradisi warisan seni budaya, sekali gus meningkatkan taraf sosio ekonomi penduduk, sejak 2020.

Untuk rekod, Kampung Laut diiktiraf sebagai tapak warisan dunia oleh Pertubuhan Pendidikan, Kebudayaan dan Saintifik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).

Pengurus Besar (Bahagian Pelaksanaan Projek) ECERDC, Arizan Arifin berkata, terdapat perkampungan Melayu lama berusia lebih 400 tahun di Kampung Laut, Tumpat, terletak di tebing barat Sungai Kelantan itu.

Menariknya, katanya, Kampung Laut dahulu dikenali sebagai pusat penyebaran agama Islam terawal selain terdapat aktiviti perdagangan.

“Nilai sejarah yang tertinggi di sini adalah Masjid Lama Kampung Laut yang juga masjid kayu tertua dan masih boleh digunakan sehingga hari ini.

“Di sini juga, terdapat perusahaan makanan tradisional yang masyhur dengan ‘cottage industries’ dalam membuat serunding, dodol dan gelembung buaya.

“Kita juga mahu membantu mengekalkan kebudayaan di sini antaranya permainan dan pembuatan wayang kulit, wau serta rebana kercing,” katanya.

Terdahulu, beliau beramah mesra bersama penduduk semasa lawatan media ke Laman Warisan Kampung Laut, yang turut disertai Ketua Jajahan Tumpat, Rusydee Abdullah, di sini, baru-baru ini.

Sementara itu, Arizan berkata, Laman Warisan Kampung Laut sudah mula beroperasi sejak awal bulan ini yang menjadi tarikan perkampungan serunding terkenal di negeri itu.

Katanya, pembangunan laman itu merangkumi tiga komponen utama iaitu Laman Warisan Serunding, Laman Warisan Seni dan Masjid Kampung Laut di tanah seluas 1.04 hektar di tepi sungai Kelantan.

“Ia bakal memberi impak kepada masyarakat setempat dengan peluang keusahawanan dalam sektor makanan dan minuman serta seni kraftangan.

“Pada masa yang sama, ini mengembalikan semula warisan sejarah kepada masyarakat asal di Kampung Laut,” katanya.

ECERDC turut mengambil inisiatif untuk merekodkan peristiwa bersejarah ini ke dalam naskah Coffee Table Book Masjid Kampung Laut sebagai sumber rujukan awam.

Author

Pilihan Editor