HomeNiagaEKSKOM sasar 30,000 pengunjung, pelbagai cabutan bertuah menanti

EKSKOM sasar 30,000 pengunjung, pelbagai cabutan bertuah menanti

SERI KEMBANGAN: Ekspo Koperasi Malaysia (EKSKOM) bersempena Hari Koperasi Negara 2022 dan sambutan 100 tahun gerakan koperasi negara,  pada 28 hingga 31 Julai di Mines International Exhibition and Convention Centre (MIECC), Seri Kembangan, Selangor ini menyasarkan 30,000 pengunjung.

Ekspo anjuran bersama Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) dan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), menghimpunkan koperasi dari pelbagai sektor ekonomi negara dengan mengetengahkan produk serta perkhidmatan koperasi negara dan antarabangsa.

Di antaranya pemborongan dan peruncitan, kewangan, inovasi dan teknologi, pertanian dan industri asas tani, perladangan, hartanah dan industri binaan, pelancongan, penjagaan diri dan kesihatan serta pembangunan komuniti.

Presiden Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia (ANGKASA), Datuk Dr Abdul Fattah Abdullah berkata, EKSKOM juga mengumpulkan 359 pempamer yang terdiri daripada koperasi tempatan dan antarabangsa, agensi kerajaan, pihak swasta dan syarikat tempatan serta multinasional dari seluruh negara, turut menjual produk mereka.

“Pameran ini turut disertai koperasi negara rantau asia pasifik seperti Korea, Thailand, Cambodia, Indonesia dan Filipina. Masuk adalah percuma kepada semua pengunjung.

“EKSKOM 2022 turut menyasarkan RM700,000 nilai jualan dan RM500,000 nilai jualan makanan dan minuman menerusi Festival Makanan Asia (Asian Food Festival).

“Pelbagai cabutan bertuah seperti motosikal, televisyen, telefon bimbit dan lain-lain menanti pengunjung.

“EKSKOM 2022 sebagai jentera pembangunan ekonomi rakyat untuk meningkatkan taraf hidup masyarakat menerusi keusahawanan koperasi bagi menangani cabaran peningkatan kos sara hidup dan memperkasa rantaian bekalan negara,” katanya pada sidang media.

Turut hadir, Pengurus Besar Bahagian Komunikasi Korporat ANGKASA, Halim Ibrahim.

Tumpuan utama EKSKOM 2022 adalah pelbagai program keusahawanan perdagangan seperti sesi pemadanan perniagaan, demonstrasi produk, ‘pocket talk’, ‘business coaching’, dan jaringan dagangan.

Pelbagai program menarik dan mesra rakyat turut diatur seperti Jualan Harga Patut yang menawarkan barang keperluan harian dengan harga yang berpatutan, pameran produk dan perkhidmatan koperasi, Festival Makanan Asia, persembahan budaya dan teater muzikal, peluang pekerjaan menerusi program ’jom cari kerja’ dan forum serta ceramah agama.

Penganjuran EKSKOM 2022 sempena Hari Koperasi Negara merupakan kemuncak kepada sambutan Bulan Koperasi Kebangsaan (BKK) yang diterajui Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP).

ANGKASA sebagai badan apeks gerakan koperasi negara yang diiktiraf oleh kerajaan akan terus komited menyediakan platform perdagangan antara koperasi dengan koperasi di peringkat nasional dan global bagi memenuhi keperluan anggotanya serta mengukuhkan keyakinan masyarakat terhadap peranan koperasi dalam meningkatkan kesejahteraan sosioekonomi keluarga Malaysia.

Author

Pilihan Editor