HomeGaya HidupGadis anyam kelongsong ketupat di tepi jalan Samariang

Gadis anyam kelongsong ketupat di tepi jalan Samariang

Oleh: ARRIAN ZAYNE

KUCHING: Budaya menganyam kelongsong ketupat yang biasa dilakukan setiap menjelang lebaran, hingga kini semakin pudar dalam masyarakat terutama dalam kalangan generasi muda.

Tekun menganyam ketupat jering di tepi jalan, untuk dijual sempena Aidiladha, Nurul Aini Shahrizan berkata, dirinya kini berbangga kerana mahir menganyam hidangan tradisional itu.

“Mula-mula agak sukar untuk saya belajar menganyam… tetapi saya cuba juga kerana saya tahu ramai anak muda tidak pandai seni anyaman ketupat sekarang ini,” katanya.

Nurul Aini

Walaupun sukar pada mulanya, menurut gadis berusia 17 tahun ini dia nekad menyahut cabaran untuk belajar menganyam kelongsong ketupat yang merupakan hidangan wajib masyarakat Melayu setibanya perayaan.

“Tidak sampai sebulan saya mempelajari menganyam baharulah saya mahir membuat kelongsong ketupat jering,” ujarnya sambil akui pernah merasa terbelit jemari.

Berbekalkan minat serta hasrat ingin menjana pendapatan sampingan kata Aini, Aidiladha kali ini merupakan pertama kali dirinya duduk di tepi jalan Samariang, Petra Jaya Kuching Sarawak untuk berniaga kelongsong ketupat berkenaan.

“Ini kali pertama saya ikut ibu mentua duduk menganyam ketupat di sini (tepi jalan),” jelasnya.

Tambah Aini, selain ingin meneruskan legasi ibu mentuanya, Jumaini Ismail yang sudah hampir lapan tahun menjual anyaman ketupat di bahu jalan, Jalan Samariang itu.

“Saya berharap jejak saya ini akan menjadi peniup semangat anak muda yang lain untuk belajar menganyam ketupat selepas ini,” katanya yang berjaya menyiapkan sebanyak 3,000 kelongsong ketupat jering sepanjang dua hari berniaga di tepi jalan berkenaan.

Menjual dengan harga serendah RM4 untuk 10 biji kelongsong ketupat, Aini berkata, harga berkenaan ditetapkan oleh ibu mentuanya yang masih setia berniaga dengan harga tahun lalu.

“Konsep kami berniaga sambil bersedekah… tidak apa dengan harga murah ini namun niat kami ingin semua orang dapat menikmati hidangan ketupat bersama keluarga pada Aidiladha kali ini,” katanya sambil menguntum senyum.

Author

Pilihan Editor