KUALA LUMPUR: Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) mengambil maklum berkenaan video tular dipercayai perbuatan menghina kesucian agama Islam yang dilakukan di sebuah kelab sekitar Taman Tun Dr Ismail baru-baru ini.
Pengarah JAWI, Datuk Mohd Ajib Ismail siasatan awal telah dilaksanakan oleh Bahagian Penguatkuasa JAWI.
“Jika sabit kesalahan boleh dikenakan tindakan di bawah Akta 559 Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1997 Seksyen 7 iaitu menghina atau dipandang hina dan lain-lain agama Islam dengan denda tak melebihi RM3,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Tambah kenyataan itu, JAWI sama sekali tidak akan berkompromi dengan sebarang perbuatan yang bertujuan menghina dan mencemarkan imej serta kesucian Islam khususnya yang berlaku di wilayah-wilayah Persekutuan lebih- lebih lagi menjelang Hari Raya Aidiladha.
MEDIA VARIASI melaporkan klip video rakaman seorang wanita berbaju kurung dan berhijab seperti wanita Muslimah tiba-tiba menanggalkan satu persatu pakaiannya di khalayak ramai.
Tidak diketahui agama wanita berkenaan tetapi ia menggambarkan wanita Islam dihina.
Kejadian berkenaan dimuat naik di platform Tiktok Mie_8099 dan tular sejak semalam.
Wanita itu berada di atas pentas dipercayai di Kelab Crackhouse Taman Tun Dr Ismail Kuala Lumpur.
Wanita berasal dari Kuala Kangsar itu, Perak itu memberitahu dia berketurunan Melayu, beragama Islam dan sudah menghafal 15 juzuk al-Quran.