SUBANG JAYA: Pemilik restoran Kayu Nasi Kandar di sini Datuk Sirajudin Mohamed Mydin telah mengenal pasti kaedah baharu untuk melayani pelanggan bagi mengatasi kekurangan tenaga kerja dalam industri itu.
Beliau berjaya mengurangkan jumlah pekerja restorannya di Taipan sebanyak 50 peratus iaitu daripada 40 kepada 20 pelayan.
“Susulan pelonggaran sekatan COVID-19, ramai pekerja asing pulang ke negara mereka. Justeru, saya terpaksa mencari jalan untuk memastikan pelanggan sentiasa gembira.
“Saya telah memperkenal satu kaedah unik bagi membolehkan pelanggan memilih, mencampur serta memadankan makanan yang mereka suka sendiri dan bukannya dilakukan oleh pelayan,” katanya kepada Bernama.
Sirajudin berkata demi kepuasan pelanggan, mereka kini bebas memilih juadah yang disukai dan hanya membayar apa yang mereka ingin makan.
“Konsep kami ialah menggembirakan pelanggan dan memenuhi keinginan mereka dalam menjamu selera. Selepas mengisi pinggan masing-masing, mereka boleh terus membuat bayaran di kaunter tanpa perlu menunggu pelayan.
“Pihak restoran mendapati kaedah ini lebih mudah untuk memuaskan hati pelanggan kerana mereka bebas memilih apa yang mereka suka,” katanya.
Beliau berkata selepas mengambil makanan, pelanggan juga boleh memesan minuman ketika membuat bayaran yang akan dihantar ke meja mereka.
Sirajudin, 60, juga berterima kasih kepada bapanya yang telah melatih beliau untuk menjadi seorang tukang masak dan usahawan makanan sedari kecil.
Restoran Kayu Nasi Kandar miliknya di Taipan telah menjadi mercu tanda di Subang Jaya untuk golongan tua dan muda.
Kayu Nasi Kandar berasal dari Pulau Pinang dan telah membuka cawangan pertamanya di Lembah Klang pada 1974.
Kini ia adalah antara restoran yang menyajikan juadah warisan Pulau Pinang paling popular di Lembah Klang dan Pulau Pinang sendiri.
Sirajudin juga berharap restoran itu dapat kembali beroperasi 24 jam awal tahun depan berbanding waktu operasi ketika ini iaitu dari 10 pagi hingga 10 malam.
“Setelah berkecimpung dalam industri makanan selama lebih 40 tahun, saya juga telah memperkenal beberapa juadah baharu untuk mengembangkan kepelbagaian sajian fusion.” – BERNAMA