HomeBeritaKekang isu keraguan halal, Malaysia perlu miliki pusat penyembelihan sendiri – PEMBELA

Kekang isu keraguan halal, Malaysia perlu miliki pusat penyembelihan sendiri – PEMBELA

PUTRAJAYA: Pengerusi Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA) Aminuddin Yahaya mencadangkan agar Malaysia membina pusat penyembelihan sendiri di luar negara untuk mengatasi isu keraguan status halal daging yang diimport.

“Inisiatif ini banyak akan menyelesaikan masalah berbanding melantik pusat penyembelihan negara luar dan memberi pengiktirafan halal melalui badan halal luar negara,” katanya kepada Utusan Malaysia pada Rabu lalu.

Jelasnya, pusat penyembelihan itu boleh dibina melalui syarikat milik kerajaan (GLC) di mana-mana negara yang mengeksport daging ke negara ini dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) boleh melantik pertubuhan bukan kerajaan (NGO) sebagai rakan kongsi untuk bekerjasama bagi memantau rumah-rumah sembelihan negara luar.

“Jadi JAKIM dan GLC boleh mengemukakan perkara ini, kalau nak ambil lembu di Australia, maka kita boleh buka rumah sembelihan kita di negara berkenaan.”

Tambah beliau lagi, dengan memiliki pusat penyembelihan sendiri sekali gus akan memberi pulangan ekonomi lebih baik kepada negara.

Berkata tentang isu keraguan status halal, beliau berpendapat satu sistem ketat perlu dikenakan terhadap setiap rumah sembelihan termasuk badan pensijilan halal luar negara yang dilantik, yang mana semakan perlu dibuat secara berkala dan mengejut.

“Tindakan penalti dengan hukuman tegas perlu dikenakan sama ada penalti tinggi atau mengharamkan kemasukan daging ke negara ini serta menyenarai hitam rumah sembelih dan badan halal luar negara yang terlibat supaya benda itu tidak berulang,” katanya.

Presiden Pertubuhan Kemasyarakatan Rakyat (PEKEMAS), Faizan Mohd. Nor turut bersetuju dengan kenyataan tersebut dan berkata JAKIM tidak boleh berkompromi dalam soal kepatuhan halal selepas pendedahan isu berkenaan berlaku di Australia.

Beliau menggesa agar audit dibuat semula di semua rumah sembelihan halal di negara berkenaan yang mendapat pengiktirafan badan halal luar negara diiktiraf jabatan itu.

“Kita tidak boleh beri muka kepada yang terlibat selepas isu di Thomas Food Industries (TFI) didedahkan belum lagi diselesaikan, timbul pula keraguan status halal rumah sembelihan lain. Ini menunjukkan JAKIM perlu bertindak,” tegasnya.

Sebelum ini, tiga bekas pekerja mendedahkan tentang ketidakpatuhan halal sebuah rumah sembelihan di sana selepas isu sama berlaku di TFI di Lobethal, Australia.

Menurut bekas penyembelih itu, haiwan yang telah disahkan haram diluluskan semula sebagai halal demi mengejar keuntungan syarikat.

Authors

Pilihan Editor