SEJAK kebangkitan semula semangat Melayu, bukan sahaja filem Mat Kilau yang menjadi fenomena tetapi apa sahaja mengenai Melayu pasti jadi tumpuan ramai.
Seperti gula dihurung semut, begitulah kuatnya penangan Melayu ketika ini.
Namun apabila program Hari Peradaban Bangsa Melayu (HPBM) dianjurkan oleh PEMBELA, di Padang KLFA Taman Melati ia kurang mendapat sambutan sebagaimana diharapkan.
Sasaran awal kehadiran pengunjung adalah 30,000 orang sebagaimana jumlah pengunjung di Bon Odori namun HPBM kali ini dianggarkan hanya 4,000 pengunjung.
Penulis tidak ketinggalan untuk hadir melihat sendiri suasana HPBM.
Walaupun susun atur program agak bercelaru dan sukar mendapat tempat letak kenderaan, namun harus dipuji usaha penganjur untuk menyatukan anak bangsa di bawah satu program.
Agak mengharukan apabila wajah-wajah besar seperti penerbit dan pengarah urusan Studio Kembara, Abdul Rahman Mt Dali dan pengarah dan penerbit filem, Datuk Yusof Haslam sudi hadir menyokong HPBM.
Jadi berbalik kepada topik asal, HPBM masih boleh ditambah baik pada masa akan datang mungkin dikurangkan adat dan budaya Arab, sebaliknya menonjolkan lebih banyak sejarah Melayu.
Mengambil contoh mudah, orang sanggup meredah perjalanan beribu batu demi mengetahui susur galur dan melihat kesan sejarah depan mata mereka. Malah mereka sanggup membeli artifak berjuta ringgit demi nilai sejarah.
Mungkin luaskan skop Melayu bukan sekadar ‘bangsa’ tetapi satu rumpun yang kewujudannya ada dan diterima di seluruh dunia.
Semua maklum ada Melayu Bugis, Melayu Palembang, Melayu Champa, Melayu Cape, Melayu Minang, Melayu Siam, Melayu Sulu dan lain-lain.
Namun secara keseluruhannya, HPBM adalah satu inisiatif untuk membantu memartabatkan Melayu dan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Shahidan Kassim wajar memberi sokongan terhadap program seperti ini.