HomeMV+PendapatKerana cinta, Bon Odori wujud 47 tahun di Tanah Melayu

Kerana cinta, Bon Odori wujud 47 tahun di Tanah Melayu

TAK kenal maka tak cinta, dah kenal tergila-gila.

Peribahasa Melayu ini menggambarkan perasaan apabila seseorang itu mengenali akan sesuatu perkara, maka dia akan menyerahkan sepenuh jiwanya untuk perkara yang telahpun dicintainya.

Baru-baru ini kecoh tentang nama Bon Odori.

Kemudian muncul pula fakta perayaan ini telah lama disambut sejak tahun 1977.

Perkara cintakan Tanah Melayu oleh orang Jepun tersimpan dalam lipatan sejarah semasa pra Perang Dunia Kedua.

Seorang pemuda yang dilahirkan di Jepun dibesarkan di Terengganu kemudian kembali ke Jepun untuk dapatkan pelajaran dan kembali semula ke Terengganu kerana cinta.

 

Pemuda Jepun itu kemudiannya membuka Yamada & Co, fasih bercakap loghat Terengganu, memeluk Islam dengan nama Mohd Ali bin Abdullah dan berkahwin dengan gadis Terengganu kecintaannya.

Tani Yukata dilahirkan di Minami-ku, Fukuoka dikatakan menubuhkan Yakuza pertama Tanah Melayu di gelar ‘Harimau Malaya’ aktif juga di Singapura dan menyerang perniagaan kepentingan British.

Keluarga Tani begitu betah tinggal di Terengganu sehingga mereka selesa berpakaian baju Melayu, bersamping dan kisah mereka difilemkan dalam filem Jepun berjudul Harimao.

Namun keluarganya menjadi mangsa kebencian kaum Cina di Tanah Melayu disebabkan tindakan Jepun menyerang China di Manchuria pada 1931.

Kumpulan protes ini membakar perniagaan warisan keluarganya di Terengganu, Yamada & Co, adiknya Shizuoka dirogol, dibunuh dan dipancung.

Keadilan pada masa itu tidak berpihak padanya dan pembunuh dibebaskan oleh pihak berkuasa British. Ini membakar amarahnya dan mencabar kesabarannya.

Tragedi hitam itu ternyata mengubah sikapnya menjadi pendendam, beliau menjadi perisik Jepun yang memberikan maklumat sehingga tentera Jepun boleh mendarat melalui Kota Bharu, Kelantan.

Sepanjang perjalanan anggota Jepun itu berbasikal dari Kota Bharu menuju ke Singapura serta dibekalkan kemudahan makanan (food dump).

Walaupun ada catatan sejarah mengatakan beliau mati di Singapura tetapi adalah lebih logik, dia adalah perisik Jepun yang amat cemerlang, gugur dalam misi sabotaj di Johor sehingga namanya dijulang di Jepun.

Perjuangan Tani Yutaka dan Geng Harimao / Harimau Malaya menjadi inspirasi gerakan Yakuza di Jepun.

Wujudnya pasukan bola sepak Harimau Malaya dan JDT (Southern Tigers) sebagai lambang kegagahan.

Pada 14 Jun 2022, skuad Harimau Malaya berjaya membenamkan Bangladesh menamatkan penantian 42 tahun untuk layak ke pusingan akhir Piala Asia.

Logo Komando Angkatan Tentera Malaysia iaitu Grup Gerak Khas juga menggunakan logo kepala harimau.

Kampung Kerinci (dahulu sebutannya Kelinci) juga dikaitkan dengan manusia harimau.

Jata Negara meletakkan dua ekor harimau kiri kanan sebagai lambang penjaga Tanah Melayu.

Mengikut cerita lisan orang lama, seekor harimau putih belaan penjaga kepada Tanah Melayu zaman dahulu (dikenali Tanah Sunda) namanya Boyan Orang Dewa Sakti.

Penjaga Melayu ini dikatakan bersama harimau putihnya belayar ke kerajaan Ryukyu (sekarang bertempat di Okinawa, Jepun).

Ketika tiba di tanah Jepun, Boyan Orang Dewa Sakti dipanggil Bon Odori yang lebih mudah disebut.

Kenapa orang Melayu pilih Jepun? Orang Jepun yang dianugerahkan Tuhan kebijaksanaan dan kerajinan boleh berkembang seluruh dunia.

Ini bermakna penceritaan Melayu ini boleh dikembangkan dengan semangat kegigihan Jepun, namun kerana yang diberi amanah itu hilang fokus akhirnya kisah sejarah itu hilang begitu sahaja.

Malah, pernah direkodkan sejarah bahawa Panglima Awang dan Tun Tuah pernah tiba di Okinawa berdasarkan penemuan sebilah keris pada tahun 2003.

Rakyat negara matahari terbit itu amat mempercayai tugas ghaib membantu yang nyata, dan kerana itu Jepun mudah maju berbanding bangsa lain.

Golongan itu pernah dinobatkan paling beradat dan beradab di dunia, selain pembersih, fokus kerja.

Semangat kamikaze sanggup korban diri untuk bantu bangsa dan negara amat tinggi.

Kisah cinta alam Tanah Melayu , suka duka perjuangan dengan penyokong orang orang Melayu, diterjemah dengan lagu “Rasa Sayang Eh” dalam filem Jepun.

Mejar Fujiwara minta syarikat perfileman Jepun Daiwi buat filem riwayat hidup Tani Yutaka berjudul Marai No Tora.

Kesimpulannya kerana CINTA, pemuda Jepun bernama Tani sanggup kembali ke Tanah Melayu, kerana cinta Kerajaan Melayu Melaka bersatu dengan kerajaan Ryukyu, kerana cinta Panglima Awang dan Tun Tuah membawa Melayu ke Jepun.

Cinta kepada siapa? Kepada Tuhan Yang Esa yang melahirkan rasa cinta dalam hati makhlukNya agar kita kenal asal usul, tahu sejarah, mensyukuri dan kembali kepada-Nya.

Jika rakyat Jepun mengingati sejarah kematian Tani Yutaka sebagai wira Jepun , maka mereka juga perlu tahu bagaimana dia hidup di bumi Tanah Melayu.

Tanah Melayu akan terus dingati sebagai tanah perjuangan seorang wira Jepun iaitu Tani yang mengorbankan dirinya demi kecintaan kepada bangsa dan negaranya, satu nilai yang semakin hilang dalam jiwa kita iaitu CINTA.

Author

Pilihan Editor