HomeNiagaKoperasi kariah masjid perlu suntikan perpaduan

Koperasi kariah masjid perlu suntikan perpaduan

KUALA LUMPUR: Asas dan tujuan penubuhan koperasi kariah masjid perlu ada suntikan perpaduan.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Tan Sri Noh Omar berkata, koperasi kariah masjid perlu menjadi payung perpaduan ummah.
“Kesepakatan lebih utuh perlu diwujudkan antara KUSKOP dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, Majlis Agama Islam Negeri, Jabatan Agama Islam Negeri dan agensi dalam usaha untuk meningkatkan jumlah koperasi kariah masjid di setiap negeri,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengadakan lawatan kerja ke Koperasi Masjid Nurul Yaqin Kelana Jaya Berhad (KOYAQIN) di ibu pejabat koperasi tersebut di Petaling Jaya hari ini.
Turut mengiringi beliau ke KOYAQIN ialah Pengerusi Eksekutif Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), Haji Zazali Haron; Timbalan Pengerusi Eksekutif SKM, Encik Rusli Jaafar; Pengarah SKM Cawangan Negeri Selangor, Rozdeen Mohd Jaafar dan Presiden ANGKASA merangkap Presiden ASEAN Co-operative Organization (ACO), Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah.
Sebagai rekod, sehingga 31 Disember 2021, terdapat sebanyak 474 koperasi kariah masjid di seluruh negara dengan keanggotaan seramai 40,238 orang dan perolehan sebanyak RM21 juta.
Dalam majlis yang sama juga, Noh telah menyerahkan Sijil Pelantikan Mentor Pembangunan Koperasi Kariah Masjid Negeri Selangor kepada KOYAQIN yang diwakili oleh Pengerusinya, Datuk Lamien Sawiyo.
Datuk Lamien dalam ucapannya menyatakan penghargaan atas kehadiran  Noh ke KOYAQIN dan menyifatkan kehadiran beliau sebagai mengotakan janji KUSKOP untuk memberi fokus yang lebih terhadap pembangunan koperasi kariah masjid.
KOYAQIN telah ditubuhkan pada tahun 2015 dan menjalankan aktiviti peruncitan, penyelenggaraan dan pembaikan bangunan, katering serta perkhidmatan perjalanan dan pelancongan.
Koperasi tersebut telah menerima tempat kedua untuk Anugerah Koperasi Kariah Masjid Terbaik Peringkat Kebangsaan pada Persidangan Koperasi Kariah Masjid Peringkat Kebangsaan 2022 di Sepang pada 8 Mac 2022.
Hadir sama ke majlis ialah Penasihat Korporat (Sektor Koperasi) ANGKASA, Datuk Md Yusof Samsudin dan Anggota JAD ANGKASA, Datuk Shaharudin Moh  Sa’ad.

Author

Pilihan Editor