HomeBeritaKPDNHEP Siasat Peniaga Jual Minyak Masak Bersubsidi Tanpa Lesen Sah

KPDNHEP Siasat Peniaga Jual Minyak Masak Bersubsidi Tanpa Lesen Sah

PETALING JAYA: Kementerian Perdagangan Dalam
Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Cawangan Petaling Jaya hari ini turun padang memeriksa pematuhan peniaga di sekitar Petaling Jaya sempena pelaksanaan Penentuan Harga Maksimum Ayam dan Telur Ayam di beberapa premis sasaran yang meliputi peringkat borong dan runcit.

KPDNHEP Petaling Jaya menggerakkan sejumlah 25 penguat
kuasa untuk menjalankan OPS ATM Fasa 2 di sekitar Petaling Jaya,
Selangor.

“Tujuan pemeriksaan spesifik di lokaliti Petaling Jaya adalah
untuk melihat sendiri tahap pematuhan peniaga sempena
pelaksanaan Penentuan Harga Ayam dan Telur Ayam yang masih
diteruskan pelaksanaannya berkuatkuasa 1 Julai 2022 sehingga 31
Ogos 2022 melibatkan enam jenis barangan daripada kategori ayam dan telur ayam.

“Pemeriksaan juga, diperluas kepada keberadaan bekalan
minyak masak bersubsidi peket 1kg di lokaliti pemeriksaan.
Pemeriksaan dan pemantauan ini digerakkan di bawah OPS ATM
Fasa 2 (Ayam, Telur Ayam, Minyak Masak),” katanya.

KPDNHEP Selangor berkata, pihaknya konsisten memantau perlakuan tidak beretika seperti aktiviti menyorok barang kawalan khususnya minyak masak bersubsidi jenis peket 1kg demi memastikan keberadaan bekalan komoditi tersebut dan juga lain-lain barang makanan dalam lokaliti luar bandar dan pinggir bandar tidak terganggu, mencukupi dan mudah diperolehi oleh pengguna pada harga berpatutan pada setiap masa.

Berdasarkan statistik KPDNHEP Petaling Jaya di bawah OPS
ATM Fasa 2 bermula 1 hingga 3 Julai 2022, sejumlah 841 premis
diperiksa dan hasil pemeriksaan selama tiga hari sejak
pengumuman harga maksimum baharu ayam dan telur ayam serta
pengapungan harga minyak masak sawit tulen jenis botol
dilaksanakan, hanya didapati satu premis sahaja yang gagal
mematuhi peruntukan perundangan Akta Kawalan Bekalan 1961 di bawah pelaksanaan OPS ATM Fasa 2.

Premis disiasat di bawah potensi kesalahan menjalankan urus niaga barang kawalan tanpa lesen sah. Susulan kes ini, KPDNHEP Petaling Jaya telah menyita barang kes dengan nilai sitaan RM637.

Pengguna yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan salah
laku peniaga yang berhubung perkara di atas boleh menyalurkan
aduan yang lengkap kepada KPDNHEP Selangor melalui saluran
berikut:
i. WhatsApp 019-279 4317 / 019-848 8000
ii. Portal Aduan; e-aduan.kpdnhep.gov.my
iii. Call Centre 1-800-886-800
iv. Emel e-aduan@kpdnhep.gov.my
v. Ez ADU KPDNHEP

Author

Pilihan Editor