HomeNiagaMinyak habis stok tamparan hebat bagi peniaga cakoi

Minyak habis stok tamparan hebat bagi peniaga cakoi

Oleh: ARRIAN ZAYNE

“Minggu pertama masih boleh bertahan namun bagaimana nasib minggu kedua, kami sendiri belum tahu,” luah Izan Drahman.

Wanita berusia 59 tahun itu berkeluh demikian ketika mengenang nasib untuk meneruskan perniagaan menjual kuih cakoi goreng susulan kekurangan bekalan minyak masak paket di pasaran ketika ini.

Menurut Izan selama 28 tahun dia dan suaminya berniaga cakoi dan tau fu fa di bahu jalan sekitar Jalan Gita, Kuching namun begitu tahun ini memberi tamparan hebat buat mereka.

“Apabila sukar mendapatkan bekalan minyak masak semestinya memberi kesan juga kepada jualan dan pendapatan…sebab itu saya cakap minggu lepas kita boleh melepasinya,

“Kerana masih ada pembekal mahu melepaskan (menjual) dengan kami dalam kuantiti (minyak paket) yang banyak (kotak)… tidak tahu pula minggu selepas ini bagaimana,” ujarnya dengan raut runsing.

Sekiranya dagangannya tidak bergantung kepada minyak masak kata Izan, situasi semasa (kehabisan minyak masak di pasaran) tidak mendatangkan masalah buat dirinya dan suami.

“Mahu tidak mahu, minggu ini kita mencari inisiatif lain demi meneruskan perniagaan ini,” jelasnya antara tindakan selepas ini adalah menggoreng kuih cakoi dengan kuantiti minyak yang sedikit sahaja.

Namun begitu, inisiatif ini pasti mendatangkan kekangan lain pula akui Izan, antaranya membazirkan masa serta penggunaan gas memasak yang banyak.

“Keadaan peningkatan harga barang mentah akibat inflasi dan kemelesetan ekonomi ini memberi kesan sebanyak 85 peratus buat perniagaan saya,” ujarnya.

Walaupun sukar, Izan akui keadaan akan menjadikan keuntungan yang dikaut juga terkesan iaitu jika sebelum ini katanya 70 peratus tetapi jangkaannya selepas ini untung hanya berpihak 40 peratus.

Tetap pada posisi positif, Izan tidak menyalahkan pihak kerajaan semata ekoran situasi semasa yang menghimpit rakyat namun begitu, dia berharap detik ‘derita’ ini tidak berlarutan terlalu lama.

“Kita nak salahkan 100 peratus kepada kerajaan tidak boleh juga… apa yang berlaku bukan agenda mereka, ini semua akibat ekonomi global,” jelasnya.

Author

Pilihan Editor