CYBERJAYA: Kecenderungan masyarakat urban untuk tampil cantik ekspres tapi berbahaya membuka peluang kepada pengusaha produk tiruan melambakkan produk mereka di pasaran.
Bimbang kesan buruk yang berpanjangan diterima pengguna, Majlis Tindakan Pengguna Negara (MTPN) Negeri Selangor mengambil inisiatif menganjurkan Forum Perubatan, Kecantikan dan Kesihatan bertempat di Medical Device Authority, Kementerian Kesihatan, di sini pada Jumaat.
Yang Dipertua MTPN Selangor, Datuk Dr Gavin Voon Shih Chin berkata, program ini bertujuan meningkatkan kesedaran pengguna terhadap hak mereka agar tidak mudah terpedaya dengan kegiatan pihak yang tidak mematuhi undang-undang, penipuan produk tiruan, penawaran perkhidmatan tidak bertauliah serta produk yang tidak berkualiti.
“Ini kerana, produk tiruan itu bukan sahaja berkualiti rendah, malah berkemungkinan memberi kesan buruk kepada penggunanya disebabkan tiada kawalan terhadap ramuan yang digunakan untuk menghasilkan produk tiruan itu.
“Malah dikhuatiri juga kemungkinan produk dari luar negara itu mengandungi campuran formula rahsia dengan kandungan kimia berbahaya yang bukan sahaja merosakkan kulit tetapi organ dalaman manusia secara perlahan-lahan,” katanya menerusi ucapan perasmian majlis.
Turut hadir, Ketua Eksekutif MDA, Ahmad Shariff; Timbalan Yang Dipertua MTPN Selangor, Gilbert Pang Jiun Tatt dan Pengerusi Cawangan Petaling MTPN Selangor, Dr Darren Soo Chern Yee.
Seramai 60 pemain industri kecantikan, perubatan dan kecantikan dari Lembah Klang menyertai forum ini.
Tujuh ahli panel jemputan hadir membentangkan isu semasa mengenai perubatan, kecantikan dan kesihatan iaitu ketua MDA, wakil Bahagian Regulator Farmasi Negara, Puan Asnida; Timbalan Presiden Lembaga Kecantikan Negara, Encik Alston Tan; Pengasas IBCI, Dr Darren Soo; Pakar Kecantikan dari Rosewhite, Yoga Lin; wakil dari e-beauty Group, Aedy Adnandan Presiden Persatuan Genetik Sedunia, Puan Lim S.W.
Antara topik yang dibincangkan ialah produk selamat tanpa suntikan, mengenali produk selamat di pasaran, penipuan testimoni, beza antara pakar kecantikan dan doktor praktis kecantikan, ujian genetik untuk pengurusan kanser dan apa perlindungan untuk pengusaha jika berlaku kecelakaan kepada pengguna.
Dalam pada itu, Darren berkata, International Beauty Certified Institute (IBCI) mendapat kelulusan dari Kementerian Dalam Negeri berdasarkan undang-undang pendaftaran pertubuhan Malaysia ditubuhkan dua bulan sebelum PKP.
“Memahami pentingnya mematuhi peraturan dan akta yang ditetapkan kerajaan itu antara matlamat utama forum hari ini,” katanya.