HomeNiagaPak John buka cawangan keempat

Pak John buka cawangan keempat

KUALA LUMPUR: Berita gembira buat peminat stimbot dan panggang apabila Pak John Steamboat & BBQ (Pak John) membuka cawangan keempatnya di Great Eastern Mall sejak 26 Jun lalu.

Pengarah Urusannya, CS Chong berkata, restoran terbaharu dibuka di bawah pengurusan usahawan baharu, Chen Hong Yee di bawah konsep francais dengan nilai pelaburan RM1.2 juta.

Menurut beliau, lokasi baharu yang terletak di kawasan strategik itu memberi kelebihan kepada syarikat untuk menarik lebih ramai pengunjung.

“Keistimewaan lokasi baharu ini kerana ia amat selesa kerana memiliki ruang makan luas yang mampu memuatkan 260 pelanggan dalam satu masa selain dua bilik privasi serta bilik karaoke.

“Restoran itu dibuka setiap hari bermula pukul 10 pagi hingga 10 malam setiap melibatkan kakitangan seramai 18 orang dengan menyediakan lebih 120 menu bersama 16 jenis sos termasuk pelbagai pemanis mulut seperti wafel dan air batu campur (ABC).

“Bersandarkan kepada jenama Pak John yang semakin popular, peminat stimbot di ibu kota pastinya akan memilih untuk menikmati hidangan di restoran ini selain harga pakej buffet berpatutan yang ditawarkan,” katanya pada majlis bersama media baru-baru ini.

Antara lokasi restoran sedia ada syarikat terletak di pusat beli-belah IOI Mall di Putrajaya dan Tropicana Garden Malls.

Sementara itu, Chong menambah, pihaknya bercadang untuk membuka lima cawangan baharu pada tahun depan sebagai usaha meluaskan penguasaan pasaran serta memberi peluang kepada lebih ramai pelanggan menikmati hidangan daripada restorannya.

Beliau berkata, inisiatif syarikat pada tahun depan juga adalah untuk meneroka pasaran di luar Lembah Klang dengan membuka cawangan baharu di bandar-bandar utama seperti di Johor buat permulaan.

“Untuk separuh kedua tahun ini, kami sedang merangka pelan pengembangan ke Shah Alam, Selangor tidak lama lagi,” katanya.

Chong menjelaskan, restoran baharu Pak John menawarkan dapur memasak stimbot dan memanggang daging tanpa asap serta mesra pengguna yang akan memudahkan pelanggan menikmati hidangan dengan lebih selesa.

Binaan dapur di dalam meja yang dilengkapi penapis udara untuk meresap minyak dan asap membuatkan persekitaran restoran lebih bersih dan tidak mencederakan tangan pelanggan kerana percikan minyak ketika memanggang daging dan memasak stimbot.

Sejarah Pak John bermula pada tahun 2013 menerusi kios kecil dengan modal permulaan RM40,000.

Author

Pilihan Editor