HomeBeritaPelawak wanita 'tanggal baju' nafi hina Islam

Pelawak wanita ‘tanggal baju’ nafi hina Islam

KUALA LUMPUR: Wanita yang menimbulkan kontroversi menanggalkan pakaian tradisional Melayu di tubuhnya ketika membuat persembahan komedi di sebuah kelab di ibu negara, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini hari ini atas pertuduhan berkaitan menghina agama Islam.

Tertuduh, Siti Nuramira Abdullah, 26, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Siti Aminah Ghazali dan memohon untuk dibicarakan atas pertuduhan.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu ketika membuat persembahan komedi dengan mengeluarkan kenyataan kontroversi di Crackhouse Comedy Club di Taman Tun Dr Ismail (TTDI) pada 4 Jun.

Dia didakwa mengikut Seksyen 298A Kanun Keseksaan kerana menyebabkan ketidakharmonian dalam kalangan umat Islam, perpecahan, kebencian permusuhan, niat jahat atau menjejaskan keharmonian atau perpaduan, atas alasan agama.

Terdahulu, tertuduh diwakili peguambela, Datuk Shahrudin Ali, R Sivaraj dan Ramesh MP Chandran.

Prosiding dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya oleh Najihah Farhana Che Awang dan Wan Ahmad Hakimi Wan Ahmad Jaafar.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM20,000, selain mengenakan syarat tambahan dengan mengarahkan wanita itu melaporkan diri di balai polis berhampiran, sebulan sekali serta pasport diserahkan ke mahkamah.

Mahkamah turut menetapkan tarikh sebutan kes pada 18 Ogos depan.

Baru-baru ini, tular rakaman video berdurasi 54 saat memaparkan seorang wanita berpakaian sopan naik ke pentas dan menanggalkan tudung serta pakaiannya di khalayak ramai ketika membuat persembahan komedi solo.

Wanita itu memperkenalkan diri sebagai penganut agama Islam dan menghafal 15 juzuk al-Quran sebelum mula menanggalkan pakaiannya dan menggantikan dengan baju singlet dan skirt pendek.

Author

Pilihan Editor