HomeBeritaPersatuan Kedai Kopi tidak setuju larangan jual rokok, vape

Persatuan Kedai Kopi tidak setuju larangan jual rokok, vape

KUALA LUMPUR: Persatuan Pemilik Am Kedai Kopi Malaysia Singapura (MSCSPGA) kecewa dengan keputusan Kabinet untuk meluluskan rang undang-undang melarangkan penjualan rokok dan vape kepada individu yang dilahirkan selepas 2005.

Presidennya, Wong Teu Hoon berkata, larangan itu akan memberi kesan langsung kepada ahli persatuan yang terdiri daripada lebih 20,000 pengusaha kedai kopi di seluruh negara kerana jualan produk berkenaan menghasilkan pendapatan yang besar untuk perniagaan mereka.

“Selain itu kementerian tidak memberikan butiran tentang cara melaksanakan pelan tersebut namun terdapat kemungkinan peruncit terpaksa menyemak MyKad pelanggan.

“Ini akan menjadi sangat sukar kerana pelanggan semuanya dewasa dan ramai orang akan ragu-ragu untuk menunjukkan MyKad mereka semasa sebarang transaksi runcit,” katanya.

Menurutnya lagi, Kementerian Kesihatan juga tidak menggariskan sebarang cadangan untuk menangani perdagangan rokok seludup yang membentuk 60 peratus daripada jualan rokok di pasaran.

Kata Teu Hoon, masalah sebenarnya ialah rokok seludup yang menyebabkan ramai perokok terus merokok.

“Di samping itu, cadangan itu akan memaksa pelanggan dewasa beralih kepada peniaga haram yang menjual produk seludup dan ini akan merangsang lagi aktiviti perdagangan haram.

“Sepatutnya, Kementerian Kesihatan perlu tampil dengan penguatkuasaan yang lebih baik untuk menghentikan perdagangan rokok seludup. Dengan menghentikan rokok seludup, ia akan mengurangkan jumlah perokok di Malaysia,” tegasnya.

Beliau berkata, MSCSPGA tidak menggalakkan merokok, tetapi sebagai pemilik perniagaan yang sah, persatuan itu tidak menyokong industri haram kerana ia membawa akibat negatif kepada negara dan rakyat.

Author

Pilihan Editor