HomeBeritaPRU15 penggal terakhir, Muhyiddin Yassin mahu berehat

PRU15 penggal terakhir, Muhyiddin Yassin mahu berehat

KUALA TERENGGANU: Tan Sri Muhyiddin Yassin mahu berehat daripada dunia politik selepas mengumumkan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) sebagai penggal terakhir.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu berkata, sudah tiba masanya beliau meluangkan masa bersama keluarga sebaik PRU15 berakhir.

“Soal politik setakat itu sajalah. Mungkin penggal akhir (PRU15) lepas ini berehat dekat rumah, berehat dengan isteri, cucu seramai lapan orang, anak-anak saya.

“Saya fikir sudah sampai masa tapi kalau keadaan mendesak dan memerlukan nantilah, kita akan (fikirkan) perkara itu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi Dialog Majlis Pemulihan Negara (MPN) bersama belia di sini.

Bagaimanapun, bekas Perdana Menteri itu tidak menolak kemungkinan akan bertanding pada PRU15 nanti, jika parti memutuskan mahu beliau sebagai calon.

“Pada PRU15, kalau parti benarkan saya untuk bertanding… Nampak daripada tepukan tadi mengesahkan boleh bertanding, badan sihat, dulu kena kanser.

“Doa semua sekali makbul Allah bagi saya kesihatan. Kalau nak tendang bola boleh tendang, tapi tak jauh. Kalau pukul golf untuk 200 meter sekali pukul boleh pergi maknanya itu masih (boleh),” katanya.

Muhyiddin, 75, yang juga Pengerusi MPN, mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri kelapan pada 1 Mac 2020 selepas kerajaan Pakatan Harapan (PH) tumbang.

Selepas 17 bulan mentadbir kerajaan, beliau meletakkan jawatan selepas kehilangan kepercayaan majoriti Ahli Parlimen.

Pada PRU14, Muhyiddin bertanding di kerusi Parlimen Pagoh atas tiket PH dan menang dengan majoriti 6,927 undi.

Author

Pilihan Editor