KUALA LUMPUR: Perlaksanaan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) sesuai sekitar Oktober dan awal November tahun ini,” kata Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hassan.
Beliau secara peribadi melihat kesesuaian tempoh itu kerana pembentangan bajet dapat diawalkan sebelum pembubaran Parlimen dilakukan.
“Ini pandangan saya sendiri dan bukan Perdana Menteri (PM) yang cakap, saya cadangkan kita awalkan pembentangan bajet untuk mengelak diadakan PRU pada sekitar hujung bulan November dan Disember kerana selalu berlaku banjir ketika itu.
“Secara lazimnya, pembentangan bajet akan dibuat pada minggu ketiga Oktober, jadi kita awalkan pembentangan bajet pada minggu pertama, bentang sahaja bajet kemudian bubar.
“Ia akan ambil masa dalam satu bulan setengah untuk PRU diadakan jadi ia masih berada pada awal dan pertengahan bulan November. Banjir pun dijangka belum lagi berlaku pada waktu itu namun jika buat pada awal Oktober pun tiada masalah.
“Jangka waktu atau ‘time frame’ kedua selepas 30 Julai sehingga akhir tahun ini sebagai tempoh untuk kita (BN) melihat apa jua peristiwa strategik untuk parti kita dan sekiranya PM bubarkan Parlimen, kita mesti sudah berada dalam keadaan mempunyai peluang atau ‘advantage’.
“Janganlah bubar kemudian kita tidak mempunyai ‘advantage’ kerana ia seperti membuang peluru,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Pertemuan Bersama Jentera Pilihan Raya BN Negeri Perlis di Dewan Warisan, di sini hari ini.
Terdahulu, Mohamad yang juga Pengarah Pilihan Raya BN/Umno menyampaikan amanat kepada hampir 2,000 Jentera Jalinan Rakyat BN Perlis yang terdiri dari wakil UMNO, MCA dan MIC negeri itu.
Dalam pada itu katanya, berhubung lanjutan memorandum persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik di antara Kerajaan dengan Pakatan Harapan (PH), pihaknya menghormati tempoh MoU berkenaan yang akan tamat pada 30 Julai ini.
“Kita faham berhubung tarikh 30 Julai itu dan kita hormatinya. Kita akan lihat dulu perkembangannya sebelum merangka strategi dan sebelum ini memanglah kita mahu PRU diawalkan namun disebabkan adanya MoU ini maka kita hormatinya.
“Namun, kita mengharapkan agar MoU itu tidak disambung agar kita boleh bebas daripada ikatan MoU berkenaan. Jika sudah bebas maka senanglah kita memberi pandangan kepada Naib Presiden UMNO (Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob) untuk merangka strategi parti seterusnya,” katanya.