HomeBeritaSelebriti dakwah ditahan atas dakwaan rogol remaja bawah umur

Selebriti dakwah ditahan atas dakwaan rogol remaja bawah umur

KUALA LUMPUR: Seorang penceramah bebas yang juga selebriti dakwah ditahan polis semalam selepas dipercayai terbabit dalam kes merogol seorang remaja perempuan berusia 14 tahun.

Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk S Sasikala Devi Subramaniam, berkata suspek yang berusia 30-an itu ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Selangor pada jam 4.50 petang.

Belia berkata, hasil siasatan mendapati mangsa berkenalan dengan suspek yang juga warga tempatan sejak Mei tahun lalu.

“Bermula daripada perkenalan itu, pengadu dan suspek beberapa kali melakukan hubungan intim di beberapa lokasi berbeza.

“Setakat ini, empat kertas siasatan dibuka iaitu dua di Selangor, satu di Kuala Lumpur dan satu di Perak membabitkan pengadu sama,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Beliau berkata, penceramah bebas itu direman lima hari hingga Sabtu ini bagi membantu siasatan.

“Kebenaran reman itu diperoleh dari Mahkamah Majistret Sungai Besar bagi membolehkan siasatan lanjut ke atas suspek dijalankan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol dan Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017,” katanya.

Jika sabit kesalahan bagi dua seksyen itu, masing-masing membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan.

Sasikala berkata, polis sebelum itu menerima laporan berhubung kejadian berkenaan daripada remaja perempuan terbabit pada jam 11.15 malam, 16 Julai lalu.

Author

Pilihan Editor