HomeBerita1,000 mat rempit sertai konvoi Merdeka ke Tambun minggu depan

1,000 mat rempit sertai konvoi Merdeka ke Tambun minggu depan

KUALA LUMPUR: Yayasan Metamorphosis dijangka membawa kira-kira 1,000 mat rempit menyertai konvoi Merdeka dari Jalan Duta ke Tambun, Perak pada 27 Ogos depan.

Presiden Yayasan Metamorphosis, Datuk Razalif Zain berkata, mereka akan pasang dan kibarkan bendera sepanjang perjalanan.

“Perjalanan akan bermula jam 8 pagi dan tamat di Tambun, mereka akan mandi di situ dan ada program motivasi dengan nilai patriotisme diterapkan.

“Kerana jumlah mereka ramai, kerjasama turut dijalinkan bersama Polis Diraja Malaysia, Rela dan JPAM untuk memastikan trafik lancar.

“Kita akan uar-uarkan menerusi media sosial peserta perlu memiliki lesen dan keadaan motorsikal yang baik agar tiada masalah sepanjang konvoi,” katanya kepada media pada program santai sempena bulan Merdeka.

Razalif hadir pada Program Dekati Belia Peminat Bidang Permotoran Atasi Gejala Mat Rempit dan Hargai Kemerdekaan di sekitar Jalan Raja Laut.

Kira-kira 300 mat rempit dari Kuala Lumpur dan Selangor disantuni pada majlis makan bersama Yayasan Metamorphosis di Chow Kit.

Menerusi program ini Yayasan Metamorphosis memberi nasihat dengan kaedah berbual secara santai dan cuba berbincang mengenai budaya merempit yang merosakkan masa depan sendiri dan negara.

Yayasan Metamorphosis menggunakan pendekatan ‘makan dan minum petang’ bersama, disamping memberi pendedahan berhubung hukuman yang bakal diterima akibat terbabit dalam masalah merempit yang membahayakan pengguna jalan raya lain.

Tambah Razalif, kata-kata motivasi dan kaunseling diperlukan untuk membendung masalah sosial ini, selain turut memberi penghayatan erti kemerdekaan bagi menanamkan semangat patriotisme dalam kalangan mereka.

‘Justeru dengan cara pendekatan yang berhemah dan hikmah, diharap golongan mat rempit akan berasa diri dihargai dan berguna kepada keluarga serta negara,” katanya.

Baru-baru ini Kementerian Pengangkutan (MOT) akan meminda Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 untuk kali ketiga, bagi menangani isu lumba haram serta aktiviti mat rempit di negara ini.

Antara cadangan akan dikemukakan dalam pindaan itu ialah menaikkan kadar denda minimum daripada RM300 kepada jumlah di antara RM5,000 hingga RM10,000 selain hukuman penjara terhadap mat rempit, selain tanggungjawab ibu bapa terhadap anak bawah usia 18 tahun dan pengubahsuaian kenderaan.

Pindaan itu susulan kejadian lima maut dalam kemalangan membabitkan motosikal di Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu di sini, bulan lalu dan perbincangan di antara kementerian serta Polis Diraja Malaysia (PDRM) diadakan bagi membendung kegiatan itu secara komprehensif.

Author

Pilihan Editor