HomeGaya Hidup24 jejaka rebut gelaran Mr World Malaysia 2022

24 jejaka rebut gelaran Mr World Malaysia 2022

Oleh: FATTAH RAZZAQ

KUALA LUMPUR: Pencarian jejaka idaman Malaysia telah bermula dengan pengenalan rasmi finalis pertandingan Mr World Malaysia 2022 yang dianjurkan oleh Universal Music Malaysia (UM).

Pertandingan ini yang bertujuan untuk mencungkil bakat baharu dan mempelbagaikan portfolio bakat di bawah naungan Celebrity360, sebuah agensi pengurusan bakat UM dan seterusnya memilih pemenang yang akan mewakili Malaysia di pertandingan berprestij global Mr World 2022 yang dijangka akan diadakan di United Kingdom pada hujung tahun ini.

“Kami sangat teruja memperkenalkan barisan peserta tahun ini yang muda dan berbakat daripada pelbagai latar belakang yang mewakili hampir semua negeri di Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak.

“Universal Music Malaysia berharap melalui projek seperti Mr World Malaysia, kami dapat mengukuhkan lagi portfolio bakat kami di samping mengembangkan segmen yang berbeza selain nyanyian dan lakonan,” kata Kim Lim, Pengarah Urusan, Universal Music Malaysia.

Pada majlis pengenalan seramai 24 jejaka yang akan bersaing untuk merebut gelaran tersohor ini di mana mereka terdiri daripada pelbagai latarbelakang portfolio termasuk doktor, doktor gigi, ahli farmasi, pelakon, chef, usahawan, barista, jurulatih kecergasan dan banyak lagi.

Turut hadir bersama adalah penaja rasmi utama Mr World Malaysia 2022 termasuk JD Sports, Lingtea, Living Young Aesthetics dan Cookx manakala rakan kongsi termasuk Number76 (salon rambut), MakeUp Miracle (juru solek) dan Star Fitness (pusat kecergasan).

Kim juga berkata, pihaknya amat berbesar hati mengalu-alukan penaja serta rakan kongsi untuk bersama kami dalam menjayakan acara yang sangat unik ini dan terus mendokong bakat baharu yang bakal membawa nama Malaysia bersama jenama tempatan ke pentas dunia kelak.

“Orang ramai dijemput ke program temu mesra bersama kesemua 24 finalis yang akan diadakan pada 28 Ogos ini di Pavilion Bukit Jalil di mana pelbagai aktiviti akan diadakan termasuk peluang memenangi tiket ke acara gala akhir yang dijadualkan berlangsung pada September ini,” katanya.

Author

Pilihan Editor