HomeBeritaAda segelintir rakyat enggan ambil Jalur Gemilang walau diberi percuma

Ada segelintir rakyat enggan ambil Jalur Gemilang walau diberi percuma

PETALING JAYA: Semangat jati diri rakyat terhadap tanah air Malaysia semakin jelas kian terhakis.

Jika sebelum ini, pemimpin kerajaan Pulau Pinang disindir kerana mengutamakan Bahasa Inggeris dalam ucapan penuh beliau di sebuah majlis rasmi, hari ini segelintir rakyat pula berpaling daripada bendera Jalur Gemilang.

Justeru, tanggal 1 Ogos 2022, Pertubuhan Minda dan Sosial Prihatin (PMSP) dengan kerjasama RS Park Sdn Bhd bersama Pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil & Sederhana Malaysia (IKHLAS) mengambil inisiatif untuk mengedarkan 300 Jalur Gemilang secara percuma kepada pemandu kereta dan penunggang motosikal.

300 bendera Jalur Gemilang diedar secara percuma sempena bulan kemerdekaan.

Mereka turut beramah mesra dan membantu memasang Jalur Gemilang di kenderaan masing-masing, yang melalui hadapan kompleks beli-belah Digital Mall, di sini.

Bagaimanapun, agak mengejutkan apabila, kebanyakan pemandu mengelak daripada menerima Jalur Gemilang walaupun diberikan percuma.

Presiden PMSP, Ramesh Rao Naidu berkata, semangat patriotik rakyat semakin hilang, dan ia terbukti apabila melihat sendiri sudah ramai yang tidak berminat dengan Jalur Gemilang walaupun ia diberi percuma, berbanding sebelum ini yang berpusu-pusu mengibarkan bendera di kenderaan masing-masing.

“Kita tengok tadi ada yang tidak mahu ambil bendera walaupun percuma, seolah benci sangat tengok bendera (Jalur Gemilang) sedangkan duduk tinggal di Malaysia.

“Sikap patriotik ini semakin pudar. Retorik pembangkang seperti DAP sebelum ini, Malaysia nak bankrap, hasut benci negara, tak galak rakyat hormat sultan, tak galak kaum Cina masuk polis tentera, ini salah satu cara benci negara.

“Hormatilah, sayangilah, sanjungilah Malaysia. Ke mana sahaja ‘you’ pergi, you tetap dari Malaysia,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di sini.

Turut hadir, Presiden IKHLAS, Datuk Seri Mohd Ridzuan Abdullah dan Pengerusi Eksekutif RS Park Sdn Bhd, Datuk Siva.

Ramesh mengedar 300 bendera Jalur Gemilang bersempena bulan Kemerdekaan secara percuma dengan kerjasama Pertubuhan Minda Dan Sosial Prihatin dan RS PARK SDN BHD. di pintu masuk Digital Mall.

Mengulas lanjut, Ramesh berkata seharusnya rakyat bersama-sama mengembalikan momentum kemerdekaan dengan berbangga membawa Jalur Gemilang ke mana-mana.

Justeru, pihak berkuasa tempatan (PBT) di setiap negeri juga perlu ada ketetapan untuk menggalakkan premis memasang Jalur Gemilang sepanjang bulan kebangsaan.

“Bulan Ogos kibarkan bendera, bukan melalui paksaan pun. Kedai boleh model untuk murid sekolah tengok, mereka pun jadi bersemangat bukan sekadar menyanyi Negaraku,” katanya yang akan mengedarkan baki 1,000 Jalur Gemilang lagi di beberapa lokasi seterusnya.

Author

Pilihan Editor