SEREMBAN: Seorang ahli majlis pihak berkuasa tempatan (PBT) direman hingga esok bagi membantu siasatan berhubung dakwaan memukul adik lelakinya yang juga merupakan Orang Kurang Upaya (OKU) di Bandar Sri Jempol, dekat sini pada Jumaat lepas.
Ketua Polis Daerah Jempol Supt Hoo Chang Hook berkata lelaki berusia 40-an itu ditahan pada 4 petang Ahad lepas selepas pihaknya menerima laporan daripada orang awam berhubung perkara itu.
“Mangsa yang berusia 39 tahun mendakwa dipukul oleh abang kandungnya dengan menggunakan objek dan dicucuh dengan api.
“Dia kemudian dibawa ke Hospital Jempol untuk pemeriksaan doktor dan disahkan mempunyai kecederaan pada bahagian perut serta belakang badan sebelum menerima rawatan sebagai pesakit luar,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Hoo berkata kes disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan siasatan masih dijalankan.
Justeru, menurutnya orang ramai diminta untuk tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menganggu siasatan dan menyeru jika ada pihak yang mempunyai maklumat berkenaan kes tersebut agar tampil ke balai polis berdekatan. – BERNAMA