HomeBeritaBayi bertali pusat, kebiruan, diselamatkan penuntut UPSI, orang awam

Bayi bertali pusat, kebiruan, diselamatkan penuntut UPSI, orang awam

KUALA LUMPUR: Tindakan pantas sekumpulan penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menguruskan  penemuan bayi masih bertali pusat yang disangka sudah meninggal dunia, wajar dipuji.

 

Difahamkan, bayi perempuan itu pada awalnya, ditemukan oleh peniaga kedai di Taman Bahtera, Hulu Bernam, Tanjung Malim, pagi semalam.

Peniaga terbabit kemudiannya, menghubungi salah seorang pelajar UPSI yang berada berhampiran, sebelum bergegas membuat panggilan kecemasan (MERS 999).

Mereka menyangkakan bayi yang ditemui dalam keadaan dihurungi lalat, lemah dan kebiruan, beralas kain putih, di atas sofa lusuh, di tepi kaki lima lot kedai itu sudah meninggal dunia.

Sangkaan mereka meleset apabila bayi itu masih bernyawa selepas didekati.

“Pagi ni kawan kami yang kerja di kedai depan ni call (beritahu penemuan bayi). Kami terus turun…

“Oh my God! Bayi ni masih hidup lagi encik.

“Tak ada siapa pun kat situ dan kami terus call 999.

“Kami lagi terkejut bila baby ni hidup dan masih bergerak bila kami duduk dekat.

“Masa itu badan baby ni dah biru dan tali pusatnya masih ada. Badan dia pun masih berpasir bekas dari air ketuban.

“Darah pun masih basah dan rasanya masih baru dibuang subuh tadi di sini,” kata mereka yang dipetik menerusi video berdurasi 49 saat, tular di media sosial sejak semalam.

Dalam video sama, pihak polis, ambulan dan jururawat kemudian, tiba dan memeriksa keadaan bayi tersebut sebelum dibawa ke hospital untuk rawatan lanjut.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Arsad Kamaruddin mengesahkan mengenai penemuan bayi itu kira-kira jam 9.30 pagi semalam.

Katanya, pihaknya menerima panggilan daripada seorang peniaga lelaki berusia 33 tahun memaklumkan mengenai penemuan bayi tersebut sebelum bergegas ke lokasi kejadian.

“Pengadu memaklumkan terjumpa bayi masih bernyawa yang ditinggalkan di atas sofa di hadapan kedai makan di Taman Bahtera, Hulu Bernam.

“Hasil siasatan polis mendapati bayi tersebut merupakan bayi perempuan dan pegawai perubatan mengesahkan bayi dalam keadaan sihat tanpa kesan luka atau gigitan binatang.

“Kes ini masih dalam siasatan,” katanya menerusi kenyataan media hari ini.

Katanya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan membabitkan kesalahan menyembunyikan kelahiran dengan niat membuang bayi.

Author

Pilihan Editor