HomeBeritaHati Nurul Izzah Anwar ditambat semula, kini milik Yin Shao Loong

Hati Nurul Izzah Anwar ditambat semula, kini milik Yin Shao Loong

KUALA LUMPUR: Ramai terkejut dengan pengumuman Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar yang melangsungkan perkahwinan rahsianya bersama pengkaji daripada Khazanah Research Institute, Yin Shao Loong.

Tiada angin tiada ribut, mereka berdua sudah pun selamat disatukan, pada 5 Ogos, petang semalam.

Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) mengumumkan perkara itu dengan memuat naik foto bersama ibu bapanya, dan pasangan melalui perkongsian di Facebooknya.

Pasangan berkenaan diijabkabulkan, berwalikan ayahanda pengantin perempuan, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Pada petang 5 Ogos, berwalikan ayahanda pengantin perempuan, kami telah selamat diijabkabulkan di samping keluarga terdekat.

“Kami memohon doa kalian semua agar kita sentiasa di bawah perlindungan Allah SWT,” katanya menerusi kenyataan pada tengah malam Jumaat.

Mengenakan busana tradisional rekaan Fiziwoo serta menggayakan hijab dari Bawal Exclusive, Nurul Izzah yang digelar Puteri Reformasi itu, masih kekal anggun seperti biasa.

Nurul Izzah pernah berkahwin dengan Raja Ahmad Shahrir Iskandar Raja Salim namun bercerai pada 2015.

Hasil perkahwinan itu mereka dikurniakan sepasang cahaya mata iaitu Raja Nur Safiyah, 15, dan Raja Ahmad Harith, 13.

Author

Pilihan Editor